PETALING JAYA: Kecoh apabila beberapa individu terpaksa menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dikatakan meminum sejenis kopi segera berperisa buah tempatan. Ia tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp sejak petang Selasa, yang mendakwa seramai empat pesakit dirawat di Zon Merah Bahagian Kecemasan HPP. Difahamkan, keempat-empat pesakit itu mengalami sindrom sama seperti tekanan darah tinggi, berpeluh dan kelihatan resah. Menurut mesej tular itu, dua daripada empat pesakit mengenali satu sama lain dimasukkan ke wad pada 27 Januari lalu, didakwa selepas minum kopi berkenaan. Dua lagi pesakit lelaki masing-masing adalah rakan sekerja dibawa ke Bahagian Kecemasan hospital sama pada Selasa, selepas mengambil minuman kopi yang sama di tempat kerja. Seorang lagi pekerja yang didakwa sakit selepas minum kopi yang sama. Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Penang (JKN PP) akan membuat siasatan berhubung berita berkenaan yang tular pada Selasa. “Lewat hari ini JKN PP mengesan berita yang ditularkan melalui aplikasi WhatsApp berkenaan beberapa pesakit yang dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang selepas minum sejenis kopi. “Pihak JKN PP sedang membuat siasatan mendalam mengenai perkara ini dan akan memaklumkan kepada umum sebaik mendapat kepastian,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya pada malam Selasa. Dr Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan dan keselamatan makanan atau minuman dan segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan sekiranya mengalami sebarang gejala penyakit. Dalam pada itu, Bernama melaporkan, dua lelaki mengalami simptom letih dan lemah yang teruk sehingga terpaksa dirawat di HPP, dipercayai selepas meminum sejenis kopi. Pengarah JKN PP, Dr Wan Mansor Hamzah berkata, dua lelaki itu masih menerima rawatan di HPP dan dilapor berada dalam keadaan stabil. "Mereka mendapatkan rawatan di Bahagian Kecemasan HPP hari ini kerana mengalami beberapa simptom antaranya letih dan lemah yang teruk. Dua lelaki itu mendakwa gejala berkenaan berlaku selepas minum sejenis kopi. "Pihak kami menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan dua lelaki itu serta sedang membuat beberapa ujian termasuk ujian darah ke atas mereka untuk mengenal pasti punca sebenar," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam Selasa. Beliau berkata, pihaknya juga akan mendapatkan sampel kopi berkenaan untuk diuji bagi memastikan sama ada ia berpunca daripada minuman itu atau tidak. Dr Wan Mansor berkata, JKN PP akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas mendapat keputusan berhubung ujian terhadap mangsa dan sampel kopi berkenaan. Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mengalami simptom sama supaya mendapatkan rawatan segera di mana-mana klinik atau hospital berdekatan mereka.