suria

“Itu Gambar Abang Saya, Bukan Jamal”

Keluarga mangsa telah membuat laporan polis ke atas individu yang mempergunakan gambarnya yang sedang sakit di laman sosial Facebook.

JERANTUT: "Itu gambar abang saya, bukan Jamal," kata adik kepada pelancong Malaysia yang kini menerima rawatan di unit rawatan rapi Hospital Vachiraphuket, Phuket.

Gambar abangnya disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab dengan mengaitkannya dengan seorang pemimpin tertentu.

Difahamkan gambar terbabit disebarkan dalam laman sosial Facebook oleh pihak yang dipercayai menggunakannya demi kepentingan politik.

Gambar tersebut disalahgunakan dengan menjadikan pesakit itu, Mohd Nazmi Ahmad Zubaidi, 30 sebagai 'Jamal', dipercayai merujuk kepada Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Bagaimanapun adik Mohd Nazmi, Mohd Nazrin Ahmad Zubaidi, 29, menegaskan mereka sekeluarga tidak tahu siapakah sebenarnya Jamal yang dimaksudkan namun terkilan dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab mempergunakan gambar abangnya itu demi kepentingan politik.

Mereka sekeluarga difahamkan telah membuat laporan polis ke atas individu yang mempergunakan gambar Mohd Nazmi yang sedang sakit di laman sosial Facebook.

"Saya agak terkejut dan terkilan bila melihat gambar abang saya yang sedang sakit dipermainkan oleh orang untuk kepentingan politik.

"Saya telah mengambil tindakan sewajarnya dan berharap agar orang ramai tidak lagi menyebarkan gbar abang saya yang telah disalahgunakan itu," katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian pada 2 Februari lalu menyiarkan tentang ahli keluarga Mohd Nazmi yang memerlukan sumbangan orang ramai bagi meringankan beban mereka membiayai kos rawatan Mohd Nazmi dianggakan mencecah RM70,000

Ahli keluarga mereka itu kini berada di sebuah Hospital Vachiraphuket sejak 26 Januari lalu setelah disahkan dijangkiti kuman Burkholderia Pseudomallei.

Mereka sekeluarga kini sedang berusaha sedaya mungkin bagi memastikan kesihatan Mohd Nazmi bertambah baik sekali gus membolehkannya di bawa pulang untuk mendapatkan rawatan di Malaysia.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga terbabit boleh menyalurkannya ke akan Bank Rakyat Mohd Nazrin bernombor 220251404413 atau menghubunginya di talian 011-27340075. - Sinar Harian

jamal yunos

Artikel Lain