suria

Nak Masak Apa Mak? Meh Mak Tunjuk...Hargai Wanita Ladang

PETALING JAYA: Resipi tradisional hasil air tangan kaum wanita yang tinggal di ladang mendapat pengiktirafan apabila dibukukan supaya dapat diwarisi generasi masa depan.

Naskhah berjudul Nak masak apa mak? Meh mak tunjuk...itu dijual pada harga RM29.90 dan  mengandungi 60 resipi hidangan salad, sayuran, lauk-pauk, pastri, kek, biskut dan pencuci mulut.

Antaranya ialah nasi kunyit, lemang periuk kera, ayam tua masak ungkep, pajeri kedondong dan kaswi labu.

Lebih menarik, buku ini turut mengandungi pelbagai informasi mengenai herba dan rempah ratus yang sering digunakan dalam masakan.

Pengerusi Mutiara Johor Corporation, Datin Noor Laili Yahaya berkata, ideanya untuk menerbitkan buku berkenaan bukan sahaja untuk mengekalkan warisan, malah sebagai tanggungjawab sosial kepada golongan wanita.

"Sebenarnya kita mahu bantu mereka yang tinggal di ladang-ladang milik Kulim (Malaysia) Berhad yang ada bakat tetapi tiada ruang untuk diketengahkan.

"Apabila saya berkunjung ke tempat mereka, juadah yang dihidangkan sangat sedap, oleh itu timbul idea untuk membukukan resepi mereka.

"Malah, penerbitan buku ini juga sangat bermanfaat yang mana hasil jualan akan digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan dan kesejahteraan sosial mereka," katanya kepada mStar Online.

Tambahnya lagi, wajah 39 wanita yang menyumbangkan resepi turut dipaparkan dalam buku berkenaan agar mereka rasa lebih dihargai.

Menurut Noor Laili, beliau mengambil masa selama enam bulan untuk mengumpul kesemua resipi itu.

Pelancaran buku resipi itu serentak dengan pengenalan menu terbaharu Kedai Ayamas iaitu hidangan ayam golden sesame roasted di premis Taman Tun Dr. Ismail, di sini, Isnin.

Menu terbaharu itu diperkenalkan sempena kedatangan sambutan Tahun Baru Cina dan boleh dinikmati sehingga pertengahan Mac ini.

Dengan kombinasi rasa masam, manis dan savuri, menu baharu yang diadun dengan perisa bijan panggang itu pastinya menjajikan cetusan rasa unik yang memuaskan selera anda.

Mutiara Johor, Kulim, resipi

Artikel Lain