KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil memberi bayangan bersedia bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Bagaimanapun, Shahrizat, yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), berkata segala keputusan terserah kepada pucuk pimpinan parti. "Orang politik mesti bersedia untuk segala-galanyanya... terpulang pada Pengerusi (BN) (Datuk Seri Najib Tun Razak)," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Wanita BN kepada penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Selangor King George V Silver Jubilee di sini, Isnin. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kesediaannya untuk membuat kemunculan semula pada PRU akan datang. Sementara itu, ketika mengulas desas-desus bahawa beliau akan bertanding di Parlimen Sungai Besar, Shahrizat menjawab: "Macam-macam khabar angin saya dengar. "Terima kasihlah yang bercakap saya akan bertanding di sana-sini, dalam politik biarlah orang mahu kita. Tapi semuanya terpulang pada bos saya (Najib)," katanya. - Bernama