suria

Penumpang AirAsia Jangan Terkejut Diminta Imbas Muka

Nur Jazlan (kanan) dan Aireen (kiri) pada majlis pelancaran sistem pengimbas wajah di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru, Selasa.

JOHOR BAHRU: Jika sebelum ini sistem pengimbas wajah diaplikasikan pada telefon pintar, kini sebagai permulaan ia dilengkapkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini bagi memudahkan proses daftar masuk penumpang.

Ia direalisasikan menerusi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah AirAsia yang tampil memperkenalkan teknologi canggih untuk penumpang yang dikenali sebagai Sistem Pelepasan Pantas Lapangan Terbang (Faces).

Faces adalah sistem daftar masuk layan diri pertama di Asia yang menggunakan teknologi pengecaman wajah.

Ia membolehkan penumpang menaiki penerbangan tanpa mengemukakan sebarang dokumen perjalanan selepas mendaftar di pintu pelepasan sendiri.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, ia antara usaha terbaharu syarikat itu dalam memberikan pengalaman perjalanan menyeronokkan melalui inovasi digital.

“Proses sebelum penerbangan di lapangan terbang ada kalanya menyulitkan. Menerusi FACES, ia dapat menjadikan pengalaman sebelum penerbangan lebih lancar menggunakan teknologi biometrik yang canggih untuk mengesahkan identiti bakal penumpang.

“Dengan pengenalan sistem biometrik seperti ini, prosedur untuk daftar masuk bagasi, serta pintu menaiki pesawat dapat dijalankan dengan lebih efisien dan pantas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas melancarkan Sistem Pengecaman Wajah di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Digital, Transformasi, Perkhidmatan Korporat) AirAsia, Aireen Omar.

Sementara itu, Aireen berkata, kos sebanyak RM300,000 digunakan bagi membangunkan sistem itu dan sudah melalui tempoh percubaan sejak awal bulan lalu.

“Kita sudah menggunakan sistem ini sejak bulan lalu bagi laluan domestik terlebih dahulu dan hingga kini lebih 3,000 orang menggunakan sistem berkenaan,” katanya.





AirAsia, Faces, Senai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain