SINGAPURA: Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) mengumumkan bermula 1 April 2018, bayaran tol untuk semua kenderaan (kecuali motosikal) bagi kedua-dua laluan keluar dan masuk Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Tuas akan dikurangkan lebih dari 85 peratus di luar waktu puncak dari 10 pagi hingga 3 petang dan 11 malam hingga 5 pagi setiap hari. Bagi kereta yang menggunakan laluan keluar dan masuk Singapura melalui pusat pemeriksaan itu hanya perlu membayar kadar tol S$1.30 semasa waktu puncak manakala kenderaan perdagangan ringan (S$1.50), kenderaan berat (S$2), teksi (S$1) dan bas (S$1.50). Bagaimanapun, kadar bayaran tol di Pusat Pemeriksaan Woodlands tidak berubah. Pada waktu puncak dari 5 pagi hingga 10 pagi dan 3 petang hingga 11 malam, kadar tol bagi kereta S$2.50, kenderaan perdagangan ringan (S$5.60), kenderaan berat (S$11.30), teksi (S$1.90) dan bas (S$3.00). Sementara itu Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan berkata republik itu akan menyesuaikan kadar tol di Linkedua selepas Malaysia mengumumkan pengurangannya semalam. "Ini akan berkuat kuasa mulai 1 April 2018. Diharapkan ini akan menggalakkan pengguna jalan raya beralih pada tempoh waktu puncak," catatnya dalam akaun Facebook lewat Jumaat. Khaw berkata kedua-dua perdana menteri, Malaysia dan Singapura telah membincangkan mengenai mengurangkan masalah kesesakan di Tambak Johor pada Permukiman Pemimpin Malaysia-Singapura bulan lepas. "Mengurangkan tol di Linkedua adalah satu daripada cadangannya. Pelaksanaannya telah disegerakan. Malaysia baru sahaja mengumumkan kadar tol di Linkedua akan dikurangkan di luar waktu puncak," katanya. Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan semalam berkata levi kenderaan komersial di Linkedua dikurangkan kepada RM50 bagi kedua-dua laluan keluar dan masuk ke Malaysia mulai 13 Februari, berbanding kadar antara RM100 hingga RM200 ketika ini. Caj tol di luar waktu puncak bagi Linkedua iaitu antara 10 pagi hingga 3 petang dan jam 11 malam hingga 5 pagi untuk semua kenderaan kecuali motosikal juga dikurangkan antara 47 peratus hingga 82 peratus mengikut kelas kenderaan. Khaw berkata untuk mengurangkan kesesakan di laluan Tambak Johor, kedua-dua negara juga bekerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk meningkatkan kekerapan Shuttle Tebrau daripada 26 perjalanan kepada 31 perjalanan sehari bermula 13 Feb, sempena sambutan Tahun Baharu Cina. "Dengan langkah ini, kami yakin ia akan dapat memberi laluan trafik yang lebih lancar," catatnya. -Bernama