suria

Gangguan Seksual: Pegawai, Anggota Langgar Etika Tidak Dilindungi

Seorang gadis yang merupakan anak saudara kepada seorang ahli politik mendakwa dirinya diganggu secara seksual oleh seorang pegawai JPJ ketika mengikuti ujian memandu.

BENTONG: Kementerian Pengangkutan tidak akan melindungi pegawai atau anggota agensi penguatkuasaannya yang melanggar etika kerja dan disiplin.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau memandang serius terhadap kesalahan anggota penguatkuasa kerana mereka seharusnya memahami etika kerja dan tanggungjawab yang datang bersama dengan lantikan mereka.

Tiong Lai.

“Sesiapa yang pernah berhadapan dengan situasi begini (berhadapan gangguan seksual) diharap dapat membuat aduan untuk kita ambil tindakan tegas ke atas individu yang terlibat. Perbuatan seperti itu tidak patut berlaku.

"Kementerian memang tidak akan melindungi atau berkrompromi dengan mereka yang mencemarkan imej agensi penguatkuasa," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Lawatan Amal anjuran syarikat konsesi lebuh raya, Anih Berhad di Hospital Bentong di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan yang tular di media sosial Twitter berhubung seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan gangguan seksual kepada seorang remaja perempuan semasa menjalani ujian memandu baru-baru ini.

Remaja berkenaan mendakwa anggota berkenaan sudah dibuang kerja selepas ayahnya membuat aduan dan perkongsiannya di Twitter menyebabkan beberapa netizen turut berkongsi pengalaman yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: JPJ Tidak Kompromi Isu Gangguan Seksual Semasa Ujian Memandu

Bagaimanapun laporan mStar Online yang memetik Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman menyatakan pegawai berkenaan telah ditukar ke bahagian lain yang tidak melibatkan ujian memandu, sementara siasatan dijalankan.- Bernama

gangguan seksual, Liow Tiong Lai, JPJ

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain