SAMBUTAN Tahun Baharu Cina di Terengganu kini tambah meriah dengan keunikan budaya Cina Peranakan di negeri itu. Jika Pulau Pinang, Melaka ada Baba dan Nyonya, di Terengganu pula Mek dan Awang menjadi penyeri budaya sekitar 300 tahun ini apabila migran dari China berhijrah ke sini dan bergaul rapat dengan masyarakat Melayu tempatan. Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Cina Terengganu, Martin Tok berkata, acara Mek & Awang Balik Kampung yang diadakan bagi menarik lebih ramai anak Terengganu yang merantau pulang ke kampung halaman, selain mengetengahkan keunikan budaya komuniti itu. "Usaha akan dilakukan untuk meningkatkan kesedaran mengenai adanya budaya Cina Peranakan yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa," katanya. Menurut Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (Kebudayaan dan Pelancongan), Wan Firdaus Wan Sembak, Kampung Cina adalah lokasi pelancongan penting di Kuala Terengganu dan ia telah diwartakan sebagai warisan negeri pada 2004. Perkampungan itu juga mengekalkan budaya Peranakan Cina selain menjual pelbagai juadah asli komuniti berkenaan pada setiap musim perayaan. Berdasarkan sejarah, Laksamana Cheng Ho telah mendarat di Kuala Terengganu pada 1414 dengan kira-kira 200 kapal dan 28,000 kru di mana kebanyakannya telah menetap di sini dan bekerja sebagai petani.