suria

Kerja Penyelenggaraan Punca Bangunan KWSP Terbakar - Bomba

PETALING JAYA: Kebakaran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing di sini pada Selasa disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan.

Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Soiman Jahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.52 pagi dan tiba di tempat kejadian enam minit kemudian.

"Kesemua kekaitangan yang berada dalam bangunan itu telah dibawa ke tempat selamat. Tidak ada kemalangan jiwa atau kecederaan lain, cuma kesesakan yang berlaku hingga ke Kuala Lumpur.

"Kebakaran hanya berlaku di luar bangunan sahaja. Ia berpunca daripada penyelenggaraan di tingkat satu yang menyebabkan kebakaran luar bangunan.

"Faktor penggunaan cladding (material bangunan) yang mudah terbakar di luar bangunan menyebabkan api cepat marak. Ditambah pula dengan cuaca panas dan angin.

"Ia turut dijumpai di tempat kejadian dan kita dapati ia diperbuat daripada poliform yang mudah terbakar.

"Ini tidak sepatutnya digunakan di semua bangunan," ujarnya ketika di temui media di lokasi kejadian.

Soiman memberitahu, semua dokumen penting juga selamat dan tidak ada yang perlu dirisaukan.

"Kecuali tingkat enam yang terkena sedikit, namun tidak melibatkan dokumen penting.

"Usaha akan dilakukan untuk menukar semua material yang digunakan di luar bangunan dan mengikut standard yang betul," tambahnya.

Dalam pada itu, KWSP memberi jaminan kepada pencarum bahawa integriti maklumat dan simpanan ahli tidak terjejas susulan sebahagian pejabatnya di Petaling Jaya ini terbakar.

KWSP dalam kenyataan berkata, cawangan dan pejabat KWSP Petaling Jaya telah ditutup sementara  waktu berikutan kejadian tersebut.

Menurut kenyataan itu, Pasukan Pengurus Krisis Cawangan KWSP di sini sedang bekerjasama dengan pihak bomba bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke tingkat lain dan kawasan sekitar.

"Memandangkan keselamatan pelanggan dan kakitangan adalah keutamaan kami, pengosongan bangunan telah dilakukan, manakala pejabat dan perkhidmatan kaunter ditutup,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, majikan yang ingin menjalankan sebarang transaksi dengan KWSP dinasihatkan supaya mengunjungi cawangan terdekat yang terletak di ibu pejabat KWSP Jalan Raja Laut.

KWSP, Terbakar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain