TAMPIN: Jenazah Nur Afini Roslan, 14, yang maut akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman, Gemas pagi Rabu selamat dikebumikan malam Selasa. Jenazah yang tiba di Tanah Perkuburan Islam Pusara Damai Sungai Kelamah, di sini 10.30 malam dibawa ke masjid berdekatan untuk solat jenazah yang diimamkan oleh Imam Satu Masjid Kariah Sungai Kelamah Ibrahim Kamarun. Suasana pilu menyelubungi perkarangan tanah perkuburan yang dihadiri keluarga dan kenalan mangsa. Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, Nur Afini meninggal dunia di tempat kejadian manakala Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, cedera. Sementara itu, datuk saudara mangsa, Datuk Rabuan Pit berkata kali terakhir beliau bertemu arwah adalah pada Aidilfitri tahun lepas. Rabuan merupakan bapa saudara kepada arwah Nur Afini. "Ketika itu arwah ada bertanyakan saya cara untuk bergelar atlet terbaik dan kata-kata itu akan sentiasa diingati. "Arwah gelar saya sebagai pakwan dan selalu bertanya macam mana nak berlari laju. Dia kata nak jadi seperti pakwan termasuk nak menjadi anggota polis," kata bekas pelari pecut negara kepada pemberita di sini. Bapa mangsa, Roslan Samad, 55, berkata beliau dan anggota keluarga reda dengan kejadian menimpa anak ketiganya itu dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis dan sekolah. "Saya terima ketentuan Allah SWT dan berserah atas takdirnya. Saya menzahirkan penghargaan terhadap semua pihak sehinggalah jenazah dikebumikan. "Anak saya sangat aktif dalam sukan memanah ketika masih berusia 10 tahun dan pernah mewakili Pahang dalam sukan berkenaan sebelum saya dan dia berpindah ke daerah ini bulan lepas," katanya. Roslan berkata selepas berpindah, beliau merancang untuk mendaftarkan Nur Afini sebagai atlet memanah Negeri Sembilan namun tidak kesampaian. - Bernama