suria

Bayi 46 Hari Meninggal Dunia Dipercayai Didera

Gambar hiasan.

BUKIT MERTAJAM: Seorang bayi perempuan berusia 46 hari meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dipercayai didera anggota keluarganya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, mangsa yang dilahirkan pada 30 Disember lepas itu meninggal dunia kira-kira pukul 10.45 pagi Khamis.

"Menurut bapa mangsa, anak keduanya itu didapati enggan meminum susu sejak malam tadi dan semakin lemah pagi ini sebelum dia serta isterinya membawa bayi berkenaan ke sebuah klinik swasta di kawasan Sungai Rambai, di sini.

"Semasa di klinik itu, doktor mendapati denyutan jantung bayi berkenaan semakin lemah dan mengarahkan mereka membawa mangsa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya di sini.

Beliau berkata dalam perjalanan ke hospital, bayi itu didapati tidak bergerak dan ibu bapanya berpatah balik ke klinik swasta berkenaan sebelum doktor mengesahkan anak mereka telah meninggal dunia.

Nik Ros Azhan berkata, pemeriksaan awal dan imbasan X-ray yang dijalankan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan termasuk patah kaki.

Difahamkan terdapat beberapa kesan luka dan lebam lama di badan bayi malang itu.

Katanya, polis mengambil keterangan ibu dan bapa bayi berkenaan sebelum menahan bapa bayi itu yang bekerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikat swasta bagi membantu siasatan.

"Lelaki berusia 22 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok bagi mendapatkan perintah reman dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Beliau berkata, bedah siasat ke atas bayi itu akan dibuat di HSJ esok bagi mengetahui punca sebenar mangsa meninggal dunia. - Bernama

dera

Artikel Berikut

Artikel Lain