suria

Bermula Di Perak, DocMove Mula Lebarkan Sayap

PETALING JAYA: Cabaran berdepan persepsi negatif dalam kalangan ahli perubatan tidak mematahkan semangat Dr Hanafi Yahya untuk terus menyediakan perkhidmatan rawatan kesihatan dari rumah ke rumah, DocMove.

Malahan, pegawai perubatan lulusan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan ini yakin untuk terus melangkah bagi memastikan masyarakat terutama warga tua dan golongan berpendapatan rendah tidak terabai.

Mula beroperasi sejak Julai tahun lalu, DocMove merupakan inisiatif yang diperkenalkan Dr Hanafi, 35, untuk memberi khidmat kesihatan di sekitar Perak.

Beliau yang pernah membuka klinik di Slim River berkata, berbekalkan yuran berjumlah RM250 setahun atau RM21 sebulan, mereka yang mendaftar tidak perlu ke hospital untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara rutin.

Sebaliknya, mereka akan dikunjungi doktor ke rumah secara berkala pada setiap bulan.

"Saya mendapat idea untuk memulakan DocMove kerana kekangan anak-anak yang tinggal jauh dari ibu bapa, khususnya mereka yang menghadapi kesukaran untuk pulang dengan kerap menjenguk orang tua mereka.

"Dengan adanya DocMove, kami bukan sahaja akan datang membuat pemeriksaan kesihatan, malah menghantar laporan kesihatan kepada anak-anak yang berada jauh di perantauan.

"Jadi, mereka tidak perlu risau mengenai perkembangan kesihatan ibu bapa mereka, sekurang-kurangnya mereka tahu keadaan ibu bapa mereka pada setiap bulan," ujar Dr Hanafi kepada mStar Online.

Menurutnya lagi, antara rawatan yang disediakan ialah pemeriksaan tekanan darah, suhu, kandungan gula dalam badan dan sebagainya.

Menurut anak kelahiran Felda Serting, Jempol, Negeri Sembilan ini, pasukan DocMove turut dibantu dua lagi petugas iaitu Dr Fariza Hanim Sahir dan Luqmanul Hakim Baharuddin.

Dalam pada itu, usaha murni DocMove juga tidak terlepas dari menerima persepsi negatif khususnya dari ahli dalam bidang perubatan sendiri.

"Sudah tentu ada yang mempertikaikan kualiti perkhidmatan kami dengan harga yuran yang sangat rendah.

"Tapi bagi saya, DocMove adalah satu bentuk servis komuniti, ia juga seperti fardhu kifayah dan kita mahu membantu masyarakat khususnya warga emas.

"Pernah ada satu kes, pesakit meninggal sendirian di rumah, sebab itu dengan adanya DocMove, kami boleh memantau warga emas yang tinggal tanpa ditemani anak-anak mereka," ujarnya lagi.

DocMove yang kini memiliki 300 ahli berdaftar di kawasan Slim River, Tanjung Malim dan Sungkai terus mengorak langkah apabila membuka cawangan pertama mereka di luar Perak iaitu di Sentul, Kuala Lumpur pada 10 Februari lalu.

Malah, DocMove juga sedang dalam perancangan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk memperluas perkhidmatan mereka buat kaum minoriti itu di kawasan-kawasan seluruh Malaysia.


DocMove, Dr Hanafi

Artikel Lain