PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan tidak dapat mencapai sebuah buku di sebuah pasaraya berikutan kedudukannya yang agak tinggi. Namun muncul seorang pengawal keselamatan warga asing yang sedang bertugas membantu mengambil buku untuk si cilik itu. Keadaan itu mungkin biasa dilihat dalam kehidupan seharian, tetapi seorang pelajar tersentuh menyaksikan insiden berkenaan semasa membeli barangan runcit. “Kanak-kanak itu kemudian baca buku dengan kuat dan pengawal yang berdiri di sebelahnya tersenyum, seperti seorang ayah yang bangga,” kata pelajar itu di Twitter @nabilnshrddn sehingga ‘posting’ tersebut diulang kicau lebih 11,000 kali. Nur Nabila Nasharuddin, 21, berkata, kejadian berlaku di sebuah pasaraya di Sri Petaling, Kuala Lumpur kira-kira pukul 8 malam pada 8 Februari lalu. Pelajar berasal dari Puchong itu menjelaskan bahawa insiden yang disaksikan bersama rakannya benar-benar menyentuh perasaan sehingga dia memutuskan untuk merakamkannya dan berkongsi di laman sosial. Tindakan seorang pengawal keselamatan yang baik hati menyentuh perasaan seorang pelajar. Bagaimanapun dia tidak pasti mengapa budak itu membacanya dengan kuat, tapi sewaktu lalu di belakang mereka, pengawal berkenaan bertanya ‘apakah ini?’ sambil menunjukkan sesuatu pada buku yang dipegang kanak-kanak berkenaan. “Budak itu membalas pertanyaan pengawal itu, saya rasa macam cikgu sedang ajar budak tadika. Budak tu membaca dengan kuat, cukup kuat untuk pak guard tu dengar. “Tapi keadaan itu buat hati saya tersentuh. Saya rasa sebak tapi saya senyum pada masa sama. Saya terharu,” katanya kepada mStar Online. Nur Nabila yang merupakan pelajar ijazah perubatan tahun tiga di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Bukit Jalil berkata, keadaan itu menunjukkan bahawa semua insan berhak untuk berbudi, tanpa mengira kaum, kedudukan dan wang. Dia turut mengakui bahawa segelintir masyarakat meminggirkan golongan pengawal keselamatan hanya disebabkan taraf pekerjaan mereka. “Anda tidak perlu menjadi sesiapa untuk berhati baik. Saya sangat percaya bahawa kita perlu respek sesama insan, termasuk mereka yang bergelar pengawal ni. “Mereka juga insan biasa seperti kita, layanlah mereka seperti orang lain. Kita semua sama sahaja selagi ada hati yang baik dan bantu-membantu,” ujar Nur Nabila.