suria

Bayi Sengsara Penyakit Saluran Makanan Tak Bersambung

Datuk Seri Jailani Johari (kiri) menziarahi pesakit 'Tracheo Esophageal Fistula Type C' iaitu saluran makanan tidak bersambung dengan usus, Omar Al Rasyidin Mohd Azmi, sembilan bulan di Pekan Ajil. Turut kelihatan, bapa pesakit Mohd Azmi Mohd Ghani. - fotoBERNAMA

KUALA BERANG: Jika dilihat pada telatah dan kerenahnya yang aktif, tiada siapa menyangka bayi lelaki berusia sembilan bulan ini, menderita penyakit ‘tracheo esophageal fistula jenis C' atau penyakit saluran makanan tidak bersambung.

Umar Al Rasyidin iaitu anak keempat pasangan Mohd Azmi Mohd Ghani, 36, dan Siti Nor Fatimah Abdul Ghani, 36, disahkan menghidap  penyakit itu sejak dilahirkan pada Mac tahun lalu.

"Doktor turut kata kes ini jarang ditemui di Terengganu dan pada tahun lalu hanya dua kes direkodkan iaitu anak saya dan seorang lagi bayi yang lahir awal sebulan daripadanya  namun bayi tersebut sudah meninggal dunia.

"Umar ini aktif, suka senyum dan kalau orang datang ke rumah mereka kadangkala tidak perasan dengan tiub yang ditebuk di bahagian perutnya bertujuan untuk memberi makanan dan ubat-ubatan kerana saluran makanannya tertutup. Sifat periangnya kadangkala jadi penyejuk hati sebab fikirkan kesusahan yang dia harus tanggung untuk bayi seusianya, ibu bapa mana yang tidak risau," kata Mohd Azmi kepada Bernama.

Pasangan itu ditemui selepas program ziarah pesakit kronik Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, di sini.

Tambah Azmi, ketika anaknya berusia empat hari, dia sudah terpaksa dibedah ekoran permasalahan di bahagian pernafasan dan dalaman.

"Pada awal kandungan lagi, memang doktor mengesan sesuatu yang tidak kena pada kandungan isteri saya. Doktor kata air ketuban  dalam kandungan itu banyak dan menyebabkan sistem pendarahan anak saya menjadi perlahan. Isteri saya terus dipaksa bersalin selepas melakukan imbasan tersebut kerana jika tidak anak kami mungkin akan meninggal dunia.

"Selepas itu Umar juga terpaksa menjalani pembedahan kali kedua di Hospital Sultanah Zahirah, Kuala Terengganu pada usia empat bulan untuk menebuk perutnya bagi meletakkan tiub saluran makanan kerana saluran di dalam badannya tertutup dan terpaksa tinggal di hospital enam bulan selepas pembedahan," katanya.

Katanya, atas saranan doktor, Umar juga harus dijaga dengan rapi bagi mengelak terkena jangkitan kuman dan terdedah pada sinaran matahari dalam tempoh yang lama.

"Sejak Umar lahir juga, isteri saya memang sudah lama tidak keluar rumah, dan hanya keluar jika ada hal penting kerana tidak mahu menjejaskan kesihatan Umar.

"Dulu saya ada buka kedai makan di kawasan yang sedikit jauh dari rumah. Tapi kerana faktor ini, saya tutup dan alih di kawasan perumahan kos rendah dan menjadikan laman rumah saya sebagai gerai,” katanya.

Sehingga kini, mereka telah membelanjakan hampir RM15,000 bagi rawatan Umar iaitu bagi membeli mesin sedut kahak, perubatan dan pengangkutan.

Kata Azmi lagi, beliau tidak begitu risau untuk perbelanjaan perubatan terutama dari segi ubat-ubatan kerana beliau seorang kakitangan awam.

"Cuma yang merisaukan saya sekarang dalam beberapa bulan dari sekarang, Umar harus mengambil suntikan vaksin yang berharga RM3,000 setiap satu sebanyak lima kali. Saya pun kurang pasti fungsinya untuk apa tapi memang untuk itu saya tidak berkemampuan.

"Tapi Alhamdulillah, hari ini Datuk Seri Jailani hadir memberi sumbangan, sedikit sebanyak insya-Allah akan meringankan beban saya terutamanya bagi kos perubatan Umar ini," katanya.

-Bernama

Artikel Sebelum

“Bila Anda Mahu?” - Najib

Artikel Berikut

Artikel Lain