suria

Perkhidmatan Teksi Helikopter Dilancar

Faiz pada Karnival Usahawan GO 4.0 Langkawi di Dataran Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada). Foto Bernama

LANGKAWI: Pernahkah anda terfikir dengan hanya beberapa gerakan jari pada skrin telefon pintar anda boleh menempah perkhidmatan teksi helikopter untuk membawa anda ke destinasi yang anda mahukan?

Kedengarannya agak luar biasa namun itulah yang akan ditawarkan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan helikopter pelancongan dan komersial, Heli Outpost Sdn Bhd yang diterajui seorang anak muda berusia 29 tahun dari pulau ini, Faiz Fahmi Sazali.

Aplikasi 'Heli Taxi' yang sedang dibangunkan itu dijangka siap dalam tempoh tiga bulan lagi, sekali gus akan memudahkan pelanggan menempah perkhidmatan mereka.

"Aplikasi ini menawarkan dua perkhidmatan iaitu 'Helicopter Tour' iaitu tempahan untuk mengelilingi Pulau Langkawi dan 'Helicopter Taxi' yang akan menerbangkan pelanggan terus ke destinasi yang dikehendaki seperti dari Alor Setar ke Ipoh, " kata Faiz yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan kepada Bernama.

Usahawan muda itu ditemui selepas pelancaran aplikasi tersebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini Sabtu bersempena Karnival 'I Am Usahawan GO 4.0' anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Faiz berkata, pada masa ini syarikatnya mempunyai 11 helikopter iaitu enam model Robinson 44 yang boleh memuatkan empat penumpang termasuk juruterbang serta lima model Robinson 66 berkapasiti lima penumpang, dengan tiga ditempatkan di Langkawi manakala baki berpangkalan di Kuala Terengganu, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Port Dickson.

Katanya, sejak beroperasi pada 2009, perkhidmatan yang ditawarkan syarikatnya mendapat sambutan memberangsangkan dengan kira-kira 5,000 penumpang direkodkan setahun dalam tempoh tiga tahun pertama beroperasi.

Jumlah itu semakin meningkat dan tahun lepas syarikat mencatatkan jumlah penumpang tertinggi setakat ini iaitu 18,000 orang, melibatkan purata 20 penerbangan sehari dengan kebanyakan pelanggan adalah pelancong dari Timur Tengah, katanya.

Sementara itu, Presiden DPMM, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader berkata, penyediaan e-hailing 'Heli Taxi' itu merupakan sebahagian usaha ke arah ekonomi digital seperti yang digalakkan kerajaan.

"Perkembangan ekonomi digital begitu mendadak ... kalau kita lambat kita akan ketinggalan dan di Langkawi ini Faiz adalah satu contoh usahawan ekonomi digital menerusi pembangunan aplikasi teksi helikopter itu yang merupakan satu perkara baharu dalam bidang perkhidmatan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru usahawan memanfaatkan peluang yang ada memandangkan ekonomi digital kini dilihat semakin matang dan mula mengukuh di pasaran luar seperti China, Eropah, dan India. - Bernama

teksi helikopter

Artikel Lain