suria

Suri Rumah Lesap RM15,200 Ditipu Kenalan Facebook

KUANTAN: Seorang suri rumah kerugian RM15,200 selepas terpedaya dengan pemberian barangan berjenama daripada kenalan laman sosial yang kononnya bekerja di Scotland.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 54 tahun itu mendakwa berkenalan dengan lelaki dikenali sebagai Mohd Fazli Hassan, kononnya dari Singapura, pada Januari lalu.

Mangsa mendakwa Mohd Fazli telah mengirimkan bungkusan hadiah mengandungi pelbagai barangan seperti dua buah komputer riba jenama Apple, telefon pintar iPhone 7, set gelang berlian, beg tangan, minyak wangi dan emas kepadanya pada 14 Februari lalu.

"Pada petang 15 Feb lalu, mangsa menerima panggilan telefon kononnya daripada pegawai kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bernama Lia menyatakan dia perlu membayar wang pemprosesan penghantaran itu.

"Mangsa telah memasukkan wang sebanyak RM15,200 ke dalam akaun yang diberikan Lia  atas nama Devinraj Dennis, namun sehingga kini tidak menerima bungkusan yang dijanjikan," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Mohd Wazir menambah mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini pada Sabtu, selepas menyedari dirinya ditipu memandangkan usahanya untuk menghubungi suspek tidak berjaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.- Bernama

Tipu, Facebook

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Sukar Banteras Mat Rempit

Artikel Lain