suria

“Saya Bukan Nak Perang Jantina” - Wira Komuter Pink

NAMPAKNYA masih ada rakyat di negara ini, khususnya segelintir kaum lelaki yang tidak faham tentang adab atau etika menaiki komuter.

Jika tidak, masakan masih ada antara mereka tanpa segan silu menggunakan gerabak khas wanita yang berwarna merah jambu dan jelas terpampang tulisan 'koc untuk wanita sahaja'.

Lebih menyedihkan apabila kaum wanita sendiri bersikap 'membantu' atau takut untuk bersuara apabila hak mereka dirampas oleh golongan lelaki seperti ini.

Namun, lain pula ceritanya dengan Wan Amiasyazlia Meor yang 'benci' melihat senario ini, lantas bersuara mempertahankan hak kaum Hawa sehingga postingnya mengenai isu ini tular di media sosial.

Menerusi insiden pada 16 Februari, Amiasyazlia, 25, yang dalam perjalanan dari Shah Alam ke Rawang, dengan beraninya menghalau sekumpulan lelaki yang selamba duduk dalam koc wanita.

Ketika dihubungi mStar Online, wanita ini mengaku pada waktu itu dia berasa geram apabila beberapa lelaki dalam koc wanita tidak berganjak walaupun sudah ditegur beberapa kali, seolah-olah mereka tidak bersalah.

Wan Amiasyazlia

"Mereka diam dan tidak menghiraukan saya apabila ditegur, malah saya pula yang dicaci. Mereka cakap saya penyibuk, bising, bodoh dan macam-macam lagi.

"Kemuncak kemarahan saya apabila melihat seorang wanita yang berdiri sukar untuk menyusukan bayinya.

"Sepatutnya mereka bagi tempat duduk untuk wanita itu. Saya memang tak boleh terima perlakuan mereka, terus saya marah dan halau," katanya.

Tambahnya lagi, apa yang lebih mengecewakannya apabila tiada seorang pun wanita dalam koc berkenaan yang membantunya pada waktu itu.

Sebahagian daripada posting yang dimuat naik Wan Amiasyazlia di Facebook.

Kemarahannya reda di stesen Kuala Lumpur apabila seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang digeral sebagai 'hero' turut sama menghalau semua penumpang lelaki di koc itu.

Dia yang bekerja sebagai editor perakaunan di Shah Alam berkata, tindakannya itu hanyalah untuk mempertahankan hak wanita dan mahu memupuk sikap saling menghormati.

Katanya lagi, dia tidak berniat untuk mencetuskan 'perang jantina' kerana Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sudah memberi ketetapan mengenai koc yang sudah dikhususkan untuk golongan wanita.

Bagaimanapun, kekecewaannya kini terubat apabila mendapat tahu pihak KTMB sudah memperketatkan kawalan dengan menghantar polis bantuan untuk memeriksa koc wanita selepas posting berkenaan tular.

"Alhamdulillah, saya dengar kawalan semakin ketat. Bagi saya, ini semua untuk keselesaan bersama. Saya memang tak takut untuk tegur kesalahan orang sebab dulu saya lepasan dalam jurusan undang-undang.

"Saya harap kita semua saling menghormati, patuh pada undang-undang sedia ada. Kaum hawa juga perlu saling menjaga antara satu sama lain," ujarnya lagi.

Setakat ini, postingnya di laman Facebook menerima lebih 27,000 tanda suka dan dikongsi lebih 10 ribu kali oleh netizen.

Berikut posting penuh wanita ini yang tular:

komuter, koc pink, KTMB

Artikel Sebelum

Harga Petrol, Diesel Turun

Artikel Lain