suria

“Tak Sampai Lima Minit Semua Hilang”

Pengguna jalan raya sempat merakamkan kejadian kebakaran di Kampung Melayu Pandan. Foto Viral Johor

JOHOR BAHRU: "Tak sampai lima minit semua hilang”. 

Itu antara luahan yang sempat dikongsi oleh mangsa kebakaran di Jalan Imam, Kampung Melayu Pandan, yang menyaksikan enam rumah hangus dan menyebabkan 17 keluarga hilang tempat tinggal dalam kejadian petang Selasa.

Seorang mangsa, Nor Hafifi Nor Asri, 29, berkata, api yang marak dengan cepat menyebabkan dia bersama ibunya, Salina Saim, 52, dan adiknya, Muhd Afiq Nor Asri, 15, yang ketika itu berada di rumah bersama dua anak saudaranya yang berusia empat dan dua tahun tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan.

“Masa kejadian itu saya tengah bersiap nak keluar rumah dalam pukul 6.45 petang, tiba-tiba bila pergi dapur nampak asap hitam tebal masuk dari ruang atap rumah. Saya pun jerit panggil mak, angkat anak saudara dan lari keluar.

“Bila lari keluar tu memang nampak api ke kanan ke kiri sebab angin kuat. Sempat bawa keluar nyawa, tapi barang rumah, baju semua hangus,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini, Rabu.

Tambahnya, usaha memadam kebakaran juga dilakukan dengan bantuan orang-orang kampung namun gagal akibat api yang marak dengan cepat.

“Semua rumah kayu, rumah lama, jadi api cepat (marak). Api memang nampak tinggi dan merah, bunyi meletup pun ada sebab ada rumah yang tidak sempat bawa keluar tong gas,” katanya.

Sementara itu, menurut ibunya, Salina, dia yang baru masuk ke tandas ketika kejadian terkejut apabila keluar dan mendapati ruang rumahnya dipenuhi dengan asap hitam.

“Baru masuk sekejap, baru nak mandi, anak saya jerit suruh keluar, bila keluar tengok nampak asap hitam tebal dekat siling rumah. Memang masa lari tu hanya sempat berkemban.

“Rumah dekat-dekat, nak lari lorong depan rumah, rumah depan dah terbakar, nasib baik ada satu rumah hujung yang tidak kunci pintu, jadi kita lari ikut rumah tu, kalau pintu berkunci, memang Allah S.W.T sahaja yang tahu nasib kami ketika itu,” katanya.

Dalam kejadian pada Selasa, sebanyak empat jentera dan sebuah EMRS dengan kekuatan 23 pegawai serta anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, BBP Johor Bahru dan Johor Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Penolong Kanan Pegawai Bomba, Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya mengambil masa selama 25 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan sekitar.

“Operasi tamat sepenuhnya pada 8.25 malam tadi dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. anggaran kerugian serta punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain