KUANTAN: Polis menahan seorang wanita bergelar ‘Datin' kerana dipercayai terlibat dengan sindiket penawaran serta penjualan gelaran darjah kebesaran negeri Pahang yang tidak wujud menerusi laman sosial Facebook. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superitendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita berusia 60 tahun itu, dari Pulau Gadong, Melaka, ditahan ketika hadir memberi keterangan di Balai Polis Malim, Jalan PPM 9, Melaka pada pukul 3 petang Khamis. “Datin ini ditahan susulan laporan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang melihat satu paparan di laman sosial Facebook yang menyatakan tentang penjualan darjah kebesaran palsu itu. “Iklan berkenaan dipaparkan oleh seorang pemilik akaun Facebook yang menyatakan ‘Siapa hendak ambil gelaran Datuk atau Datuk Seri Pahang dll boleh jumpa saya di Kuantan Pahang pada 23/2/2018, tempat akan diberitahu kemudian, malah anda akan ikut sama,” katanya kepada media di sini, Khamis. Mohd Wazir berkata, selepas ditahan, polis merampas sebuah telefon bimbit Xiaomi dan dua keping kad sim daripadanya bagi membantu siasatan. Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Seksyen 3(1) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017. Menurutnya, polis percaya ‘Datin' berkenaan dipercayai mempunyai hubung kait dengan dua lagi suspek iaitu seorang wanita berusia 39 tahun dan lelaki berusia 41 tahun yang ditahan di ibu negara awal bulan ini kerana terlibat dengan jenayah itu. Sebelum ini, polis turut menahan dua lagi rakan ‘Datin' berkenaan dalam serbuan berasingan kerana mengiklankan jualan gelaran 'Datuk' dan 'Datuk Seri' dengan harga angaran RM180,000 hingga RM400,000 di laman sosial. - Bernama