PETALING JAYA: Kehilangan ibu bapa sememangnya tamparan besar dalam kehidupan sesiapa sahaja, lebih dirasai apabila tiada lagi tempat untuk mencurahkan kasih sayang. Malahan, status anak yatim piatu bertambah berat apabila satu-satunya adik yang disayangi disahkan menghidap penyakit kanser limfoma tahap empat. Bakal jurutera, Muhammad Iqbal Shah Zakaria, 29, mengambil keputusan untuk menangguhkan pengajiannya demi mencurahkan sepenuh perhatian terhadap adiknya memandangkan mereka tinggal dua beradik sahaja setelah pemergian ibu-bapa. Surat yang dihantar kepada dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Universiti Malaysia Perlis itu meruntun hati netizen apabila ia tular di Twitter selepas dimuat naik pada Jumaat. Menerusi surat tersebut, Muhammad Iqbal Shah berkata, dia meminta jasa baik dekannya agar mempertimbangkan permohonan untuk menangguhkan pengajian selama setahun bermula semester dua (sesi 2017/2018) hingga semester satu (sesi 2018/2019). Muhammad Iqbal Shah mendakwa adik tunggalnya menghidapi kanser limfoma tahap empat. - Facebook Usmuni Din "Permohonan saya ini dilakukan berikutan komitmen saya menjaga adik yang sedang menghidap sakit kanser limfoma tahap empat di rumah kami di Seri Iskandar, Perak. "Selain itu, ibu bapa saya juga telah meninggal dunia dan kami hanya dua beradik. "Maka, semua tanggungjawab menjaga kebajikan adik terletak di bahu saya," tulisnya. Pada surat itu juga adanya catatan yang dipercayai ditulis oleh dekan tersebut, Prof. Madya Dr Khairul Azwan Ismail mencadangkan agar lawatan dibuat untuk menyampaikan bantuan kepada pelajar terbabit. "Dr Zahimi, cadang lancar tabung bantuan khas untuk bantu pelajar dan adik beliau," menurut catatan yang bertarikh 15 Februari itu. Surat yang dihantar oleh Muhammad Iqbal Shah kepada pihak universiti. Menerusi surat itu, pelajar tahun tiga Program Kejuruteraan Rekabentuk Produk itu turut memaklumkan dia melampirkan surat berhenti kerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat ketika penangguhan pertama sebelum ini dan salinan surat hospital berkenaan penyakit adiknya. Posting yang dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter, @OoneyAbraymen itu menerima sebanyak 12,754 ulang kicau (retweet) dan 3,575 tanda suka (like). Seorang netizen, @zeylzender meminta agar pemuda itu kekal tabah dan semoga Allah merahmatinya. Sementara itu, seorang lagi netizen, @HanifRamlan berkata: "Harap boleh sediakan sekali nombor akaun bank pelajar itu kalau awak (@OoneyAbraymen) boleh menghubungi dia. Terima kasih."