suria

Hanya Tinggal Berdua, Abang Mahu Buat Sehabis Mampu Demi Adik

Muhammad Iqbal Shah (kanan) sanggup menangguhkan pengajiannya demi menjaga satu-satunya ahli keluarga yang tinggal iaitu adik tunggalnya.

PETALING JAYA: Kesanggupan seorang abang menangguhkan pengajian peringkat ijazah, selain menggunakan semua wang simpanannya semata-mata untuk merawat adik tunggalnya yang menghidap kanser telah menarik perhatian masyarakat.

Bakal jurutera, Muhammad Iqbal Shah Zakaria berkata, itu bukanlah kali pertama dia membuat permohonan untuk menangguhkan pengajian kerana sebelum ini terpaksa berbuat demikian kerana mempunyai masalah kewangan.

"Sebelum ini sebab masalah kewangan dan saya tangguh untuk cari kerja.

"Kali ini saya terpaksa tangguhkan sebab nak jaga adik jalani rawatan kimoterapi memandangkan kami tinggal berdua sahaja," katanya pemuda berusia 29 itu kepada mStar Online.

Tambah lelaki itu, bapanya sudah meninggal dunia pada 2009 disebabkan oleh penyakit kencing manis dan ibunya pula meninggalkan mereka pada 2011 selepas disahkan menghidap kanser ovari.

Muhammad Ikhwan Shah disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada November lalu.

Muhammad Iqbal Shah bagaimanapun tidak berputus asa dengan dugaan yang menimpa keluarga mereka kerana yakin setiap penyakit ada penawarnya.

"Adik saya pun kuat dan sanggup ikut nasihat doktor. Dia perlu jalani rawatan kimoterapi sebanyak dua kali sebulan untuk enam kitaran.

"Sebagai abang, saya terkejut dan sedih kerana langsung tidak menyangka dia akan terkena penyakit ini, tetapi saya buat sehabis mampu untuk memastikan dia kembali sembuh," ujarnya yang berasa puas hati dapat membantu adiknya itu.

Menurut pemuda itu, adiknya, Muhammad Ikhwan Shah, 28, disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat ketika membuat rawatan pemeriksaan di Hospital Ipoh pada November tahun lalu.

Buat masa ini, pelajar tahun tiga Program Kejuruteraan Rekabentuk Produk itu menggunakan wang simpanan dan sumbangan daripada saudara-maranya untuk menampung kos perubatan Muhammad Ikhwan Shah.

Surat yang dihantar oleh Muhammad Iqbal Shah kepada pihak universiti.

ARTIKEL BERKAITAN: Bakal Jurutera Berkorban Demi Adik Tunggal Hidap Kanser

Sebelum ini, mStar Online pada Sabtu melaporkan bekas juruteknik itu mengambil keputusan untuk menangguhkan pengajiannya demi mencurahkan sepenuh perhatian terhadap adiknya memandangkan mereka tinggal dua beradik sahaja setelah pemergian ibu-bapa.

Surat yang dihantar kepada dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Universiti Malaysia Perlis itu meruntun hati netizen apabila ia tular di Twitter selepas dimuat naik pada Jumaat.

Menerusi surat tersebut, Muhammad Iqbal Shah berkata, dia meminta jasa baik dekannya agar mempertimbangkan permohonan untuk menangguhkan pengajian selama setahun bermula semester dua (sesi 2017/2018) hingga semester satu (sesi 2018/2019).

Susulan itu, netizen turut berhasrat ingin menyalurkan sumbangan kepada kedua beradik ini untuk meringankan beban mereka.

Bagi mereka yang ingin menderma boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam milik Muhammad Iqbal Shah yang bernombor 0801-3023-6818-43.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain