suria

“Saya Mohon Maaf, Harap Anda Semua Dapat 'Move On'”

PETALING JAYA: Selepas seorang personaliti YouTube membuat permohonan maaf, seorang lagi tetamu yang terkinja-kinja pada majlis pelancaran tudung Be Lofa di sebuah kelab malam, Isnin lalu tampil mengakui kesilapannya.

Personaliti Instagram berusia 17 tahun itu yang dikenali sebagai Dahlia menganggap perkara yang telah berlaku sebagai ujian Allah SWT untuk memperbaiki lagi dirinya.

“Terima kasih atas segala teguran terhadap kesilapan yang saya lakukan. Saya telah memohon keampunan daripada Allah SWT serta memohon maaf kepada mak, ayah dan ahli keluarga.

“Saya mengaku perkara itu salah. Saya tidak menafikannya. Saya sekali lagi memohon maaf,” katanya menerusi posting di laman Instagramnya, Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Blogger Cantik Ini Mengaku Lalai Dibuai Muzik Kelab Malam Pelancaran Be Lofa

Neelofa pada majlis pelancaran Be Lofa. Foto Instagram Neelofa

Isnin lalu, pelancaran tudung terbaharu selebriti Neelofa iaitu Be Lofa mencetuskan kontroversi apabila ia diadakan di sebuah kelab malam yang dilihat bercanggah dengan syariat Islam termasuklah adanya elemen tari menari.

Majlis itu juga turut mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menulis surat terbuka untuk aktres berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mufti WP Titip Tiga Pesanan Buat Pedoman Neelofa

Antara aksi-aksi tarian yang mengundang kecaman netizen.

Menurut gadis itu lagi, dia berharap agar semua pihak mendoakan dirinya mendapat taufik untuk memperbaiki kelemahannya, berbanding mendoakan yang tidak baik.

“Harap anda dapat move on daripada perkara ini kerana setiap manusia membuat kesilapan. 

“Jangan kerana satu kesilapan ini, anda tidak pandang lagi kebaikan yang saya lakukan,” katanya yang mendapat gelaran ratu swafoto termuda di Malaysia.

Posting permohonan maaf gadis berkenaan di laman sosial Instagram.

Dalam pada itu, dia turut meminta supaya perkara yang sudah berlaku itu tidak dihebohkan dan memohon video yang memaparkan aksinya itu dipadamkan.

“Saya merayu kepada mereka yang masih mempunyai video itu, tolonglah padamkannya. Terima kasih,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Guna Katerer Luar, Minuman Keras Juga Dikeluarkan, Pihak Neelofa Mohon Maaf

Pada Rabu, pihak Neelofa dan Naelofar Hijab membuat permohonan maaf dan menjelaskan telah mengambil langkah berjaga-jaga sebelum menganjurkan majlis pelancaran itu.

“Kami mengambil serius dan mendengar semua komen mengenai isu ini dan kami akan menggunakannya untuk membimbing kami secara positif bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.

“Kami akan pastikan isu keagamaan dan kebudayaan akan dititikberatkan dalam setiap keputusan yang dibuat pada masa hadapan dan kami amat berharap agar diberi peluang untuk memperbaiki diri dan memperbetulkan keadaan,” kata Pengarah Urusan, NH Prima International Sdn Bhd, Noor Nabila Mohd Noor yang juga kakak kepada Neelofa, dalam satu kenyataan.

Neelofa, Be Lofa

Artikel Lain