suria

“Saya Bukan Sindir Neelofa Tapi….”

PETALING JAYA: Selebriti dan usahawan Neelofa menjadi sebutan ramai minggu ini gara-gara melancarkan koleksi tudung terbaharunya di sebuah kelab malam terkemuka di ibu negara, malam Isnin lalu.

Pemilihan lokasi itu diputuskan kerana kemudahan pakej yang ditawarkan seperti pencahayaan lampu neon bersesuaian dengan tema majlis berkenaan.

Neelofa dalam sidang media selepas majlis itu memberitahu beliau perlu mengeluarkan wang lapan kali ganda bagi memenuhi kehendak tema sekiranya memilih lokasi lain. 

Idea Azrul membuat lampu neon dengan bajet rendah. Foto Twitter @ayoitisme

Di saat kontroversi itu menjadi bualan hangat, seorang pemuda tampil dengan idea menghasilkan lampu neon dengan bajet rendah, sehingga tular di media sosial.

“Nak tanda neon acah-acah XXXX tapi bajet ciput? Nah, do it yourself (buat sendiri),” kata pemuda itu di Twitter pada Rabu lalu, sehingga diulang kicau 9,000 kali.

Netizen menyambut baik idea berkenaan yang dilihat sebagai kreatif dan menjimatkan kos, malah segelintirnya mahu menempah lampu neon daripadanya.

Azrul menghasilkan lampu neonnya menggunakan bahan terpakai.

Pemuda berkenaan, Azrul Ashraf Azunan, 23, menjelaskan bahawa dia telah lama menggemari hiasan lampu neon, malah mengikuti hasil seni fotografi seorang jurugambar profesional antarabangsa, Brandon Woelfel di laman sosial.

Anak kelahiran Ipoh ini berkata, gambar-gambar yang diambil Brandon bertemakan lampu neon, suasana malam dan mempunyai kesan pencahayaan yang menarik.

“Berdasarkan inspirasi jurugambar itu, saya membeli wayar electroluminescent (EL) di Internet pada Oktober lalu untuk membuat lampu neon.

“Tapi banyak kali tertangguh nak DIY (buat sendiri) sebab sibuk. Kebetulan tema lampu neon pada majlis Neelofa membuatkan saya terpanggil nak buat mengikut bajet dan kreativiti sendiri,” katanya kepada mStar Online

Neelofa pada majlis pelancaran koleksi tudung terbaharunya, malam Isnin lalu. Foto Instagram Neelofa

Bagaimanapun pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Melaka ini menegaskan membuat lampu neon itu sendiri sekadar suka-suka, selain berkongsi idea dengan bajet rendah.

“Saya bukan sindir Neelofa, malah saya sebenarnya kagum dengan idea beliau nak ada majlis bertemakan lampu neon. 

“Lampu neon sebenarnya cantik dan dah jadi trend. Banyak orang luar dah buat dengan kreativiti masing-masing,” katanya yang memuji tema majlis aktres itu, tanpa merujuk kepada kontroversi aksi tarian ghairah segelintir hadirin.

(Gambar kiri) Azrul menunjukkan lampu neon yang dibuat pada Rabu lalu dan (gambar kanan) lampu neon yang dibuat untuk adik perempuannya.

Mengenai cetusan DIY lampu neon itu, Azrul hanya membeli wayar EL dengan kos RM16 dan mengambil masa kira-kira dua jam untuk menyiapkannya mengikut panduan di Internet.

“Bahan-bahan lain seperti pelekat, bateri dan kepingan kotak untuk tampal wayar tu saya gunakan yang sudah sedia ada di rumah, jimat kos. 

“Kalau nak lagi cantik dan mudah nak bentuk wayar, lebih baik gunakan dawai,” katanya sambil menambah masih mempertimbangkan permintaan orang ramai yang mahu menempah lampu neon daripadanya berikutan ideanya itu tular.

Selepas dikecam, dikritik dan ditegur, Neelofa di laman sosial Instagramnya pada Rabu lalu akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua pihak yang terguris dengan tindakannya melancarkan koleksi tudung di kelab malam, dan mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap tindakan tersebut dan sentiasa belajar daripada kesilapan yang dilakukan.

Neelofa, neon, Azrul Ashraf Azunan

Artikel Lain