PETALING JAYA: Video seorang lelaki warga emas yang didakwa meraba paha seorang penumpang wanita di dalam transit aliran ringan (LRT) tular di media sosial baru-baru ini sehingga mencetuskan kemarahan netizen. Lelaki itu yang kononnya meraba paha seorang wanita yang duduk di sebelahnya dan sedang tidur, dirakamkan seorang penumpang lain yang duduk bertentangan. Pelbagai kecaman dan hinaan ditujukan netizen kepada warga emas itu, termasuklah yang mengaitkannya dengan isu perkauman. Namun seorang pemuda yang mendakwa dirinya turut berada di tempat kejadian tampil menafikan lelaki warga emas itu meraba wanita tersebut. Seorang lelaki warga emas didakwa meraba paha seorang penumpang wanita. Karl Jeffrey Ramesh, 24, berkata, ketika kejadian dia menaiki LRT dalam perjalanan dari KL Sentral ke USJ, Subang Jaya, baru-baru ini. Dia menjelaskan berada di dalam gerabak yang sama ketika kejadian tetapi berdiri di ruang hadapan pintu, bersebelahan dengan tempat duduk perakam dan warga emas itu. “Saya nampak dengan mata saya sendiri, pakcik tu tak meraba tapi dia hanya menarik kain jubahnya yang tertindih di bawah paha perempuan itu. “Pakcik tu tarik secara perlahan-lahan sebab tak mahu kejutkan perempuan tu yang tengah tidur. Netizen kena tengok video tu betul-betul, jangan buat tuduhan sehingga memfitnah,” katanya kepada mStar Online. Dakwaan yang mencetuskan kemarahan netizen. Ramesh yang berasal dari Klang berkata, dia tampil membuat penafian kerana berang dengan kecaman netizen terhadap warga emas berkenaan, yang masih berterusan sehingga kini. Menyifatkan lelaki tersebut sebagai ‘mangsa’, Ramesh meminta supaya netizen menghentikan fitnah dan tidak lagi menyebarkan video tersebut. “Anda tidak berada di tempat kejadian dan anda tidak tahu hal sebenar, jangan fitnah dan tuduh macam-macam sehingga menyentuh isu perkauman. “Bayangkan ahli keluarga atau saudara anda berada dalam situasi pakcik tu yang tak bersalah, apa yang anda rasa kalau video tu tular? Mesti sakit hati kan,” katanya. Ramesh merupakan saksi kejadian. Ramesh turut menafikan dakwaan dia dibayar untuk memberi sokongan kepada lelaki tersebut sambil menegaskan dirinya sebagai saksi kejadian. “Saya hanya memperjuangkan nasib pakcik tu yang lemah dan ketika ini tidak bersuara untuk mempertahankan dirinya,” katanya. Ramesh turut mempersoalkan tindakan perakam itu yang hanya merakam dan memuat naik video tersebut di laman sosial sehingga tular. “Kenapa si perakam tidak tegur pakcik tu kalau betul dia meraba? Kenapa dibiarkan saja? Rakaman dibuat untuk dijadikan bukti dan buat laporan kejadian kepada pihak berkuasa, bukannya terus memalukan orang. “Saya minta si perakam supaya tampil membuat kenyataan dan permohonan maaf di atas tuduhan tersebut,” katanya dengan nada kesal.