KUALA LUMPUR: Pasangan pengantin baharu, Mira Ezfa Abd Rasih dan suaminya, Nor Azrul Ahmad tidak menyangka hari kedua sebagai suami isteri bermula dengan tragedi apabila motosikal yang dinaiki melanggar sebatang pokok yang tumbang secara tiba-tiba berhampiran Menara Berkembar Petronas KLCC, di Jalan Ampang, di sini. Menceritakan detik cemas itu, Mira Ezfa, 25 dan suaminya, 37, yang baru bernikah pada Ahad di sebuah masjid di ibu kota, berkata kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan ke tempat kerja di Ampang Point. “Waktu itu jalan sangat sesak pada kira-kira 7.25 pagi tadi, secara tiba-tiba ada pokok tumbang dan suami tidak sempat memberhentikan motosikal dan melanggar pokok tumbang berkenaan. “Kejadian berlaku dengan pantas,” katanya ketika ditemui Bernama di wad kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Menurut Mira Ezfa, ini juga kali pertama mereka melalui jalan berkenaan untuk ke tempat kerja. Katanya akibat kejadian, dia dan suaminya mengalami kecederaan pada bahagian kepala. “Ketika ini suami saya sedang dirawat di zon kritikal HKL dan tidak sedarkan diri. “Apabila suami saya sedar dan selamat, saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang bertanggungjawab,” katanya yang turut melahirkan rasa syukur kerana terselamat dalam kejadian selain berterima kasih kepada yang membantu.