suria

Jemaah Cedera Disondol Babi Hutan Dalam Masjid

Seekor babi hutan mencereboh masuk Masjid Jamek Sungai Plong.

PETALING JAYA: Penduduk di Sungai Buloh, Selangor digemparkan dengan ‘tetamu tidak diundang’ apabila seekor babi hutan menceroboh masuk sebuah masjid pada Selasa malam.

Kekecohan yang berlaku di Masjid Jamek Sungai Plong menyebabkan salah seorang jemaah cedera akibat disondol haiwan itu.

Imam 1 masjid itu, Ungku Ahmad Hazwan Ungku Kamarudin berkata, ketika kejadian jemaah sedang melakukan solat sunat pada waktu Maghrib.

“Masjid kami telah 'dikunjungi' oleh seekor babi hutan jantan yang tersesat masuk ke dalam kawasan pagar masjid, mengejar jemaah dan kanak-kanak di luar dan seterusnya masuk ke dalam dewan solat dalam keadaan cedera di lehernya.

“Terdapat seorang jemaah yang cedera akibat disondol oleh binatang tersebut. Ramai jemaah berusaha menyelamatkan diri dan ada antara jemaah yang berusaha menghalau binatang tersebut keluar dari dewan solat,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook masjid itu.

Seekor babi hutan masuk ke beranda masjid.

Ungku Ahmad Hazwan berkata, dua motosikal turut ditumbangkan haiwan itu yang diumpan keluar dari dewan solat sebelum ditembak oleh salah seorang jemaah menggunakan senapang patah.

“Pihak Balai Polis Sungai Pelong juga dihubungi bagi membantu menenangkan keadaan,” katanya.

Jurucakap Balai Polis Sungai Plong ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurut Ungku Ahmad Hazwan, lebih kurang tiga per empat bahagian dalam dan beranda masjid terjejas akibat insiden itu.

Bagi menyelesaikan masalah ini, katanya, pihak masjid telah menghubungi Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) bagi membantu menyelesaikan isu ini. 

“Pihak JMNS akan hadir bagi membuat penilaian berkaitan masalah sertu dan karpet masjid.

“Ketika ini, urusan solat jemaah diteruskan seperti biasa di ruang solat yang tidak terjejas,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menangani keadaan. 

babi hutan

Artikel Lain