PETALING JAYA: Jenazah wartawan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Bennie Zie Fauzi yang meninggal dunia pagi Rabu dibawa pulang untuk pengebumian di kampung halamannya dekat Kuala Kangsar, Perak. Terdahulu, Bennie Zie, 42, yang bertugas di Meja Luar Negara NSTP, ditemui meninggal dunia di kediamannya dekat Pangsapuri Damai Seksyen 25 di sini, kira-kira jam 11.30 pagi oleh dua adiknya, Dr Nanie Zie, 38, dan Daniel, 28. Dua beradik itu bergegas meninjau keadaan kakak mereka di kediaman terbabit, selepas panggilan telefon kepada Bennie Zie tidak dijawab. Lebih 50 rakan sekerja di NSTP diketuai Pengurus Besar Kumpulan Sumber Manusia Media Prima Berhad, Nor Arzlin Rezwan, menziarahi jenazah Allahyarham kira-kira jam 12 tengah hari di kediaman itu, sebelum ia dibawa ke Kuala Kangsar. - Berita Harian