KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah sah mendapatkan kembali kesemua 16 lot tanah agensi berkenaan di Jalan Semarak, kata Pengerusinya Tan Sri Shahrir Abdul Samad. “Saya ingin jelaskan...semuanya bermula apabila 17 lot tanah Felda di Jalan Semarak telah dipindah milik kepada syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) selaku pemaju projek melalui empat perjanjiian jual beli pada akhir tahun 2015 dan 2016 tetapi yang didaftarkan atas nama syarikat (SPSB) adalah 16 lot. “Tanah 16 lot ini didaftarkan pada pelbagai tarikh. Akhirnya selepas pelbagai proses dan rundingan sehingga semalam (8 Mac), kami berjaya dapatkan kembali atas nama Felda,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Felda di sini, Jumaat. Isu hak milik tanah Felda itu terbongkar pada Disember lepas, apabila sebuah akhbar tempatan mendedahkan Felda berisiko kehilangan tanah miliknya bernilai RM270 juta bagi tujuan pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) menerusi transaksi pindah milik yang diragui sejak 2015. Bulan lepas, Felda dilaporkan akan memperoleh tanahnya tanpa kos di Jalan Semarak daripada SPSB. Sewaktu memberi penjelasan berhubung perolehan tanah itu, Shahrir berkata kaveat-kaveat ke atas kesemua lot berkenaan telah dibatalkan pada bulan lepas untuk membolehkan proses tukar nama geran tanah kepada Felda dilakukan. Katanya ini melibatkan kaveat persendirian yang diperoleh pada bulan April tahun lepas dan kaveat pendaftar yang dikenakan setelah laporan polis dibuat bagi membekukan sebarang kerja pembangunan di atas tanah berkenaan. “Sebelum ini ia kaveat pensendirian. Namun pada April lepas, selepas laporan polis dibuat, barulah diletakkan sebagai kaveat pendaftar. Ini tindakan biasa. Pihak polis yang akan memohon meletakkan ia sebagai kaveat pendaftar jadi tanah itu tidak boleh diuruskan sesiapa. “Jadi, kaveat pendaftar dan kaveat persendirian diangkat untuk membolehkan kita daftar atas nama Felda. Kita daftar pada 2 Mac 2018 untuk letakkan nama kita pada 14 lot tanah. Dua lot lagi kita daftar semalam,” katanya. Mengulas lanjut, Shahrir berkata kejayaan Felda memperoleh semula tanah berkenaan adalah berikutan perjanjian persefahaman yang ditandatangani dengan SPSB pada 15 Januari lepas. Menurutnya, dalam perjanjian itu, ia menggariskan tiga perkara; SPSB mengembalikan tanah kepada Felda untuk didaftarkan semula tanpa sebarang kos kepada Felda, rundingan semula antara kedua-dua pihak bagi menambah baik perjanjian pembangunan tanah berkenaan dan meneruskan siasatan polis berkaitan transaksi tanah berkenaan sebelum ini. Berikutan kejayaan penukaran nama geran tanah berkenaan, Shahrir berkata Jawatankuasa Khas Rundingan yang dilantik pada 8 Feb lalu akan memulakan rundingan dengan syarikat pemaju untuk menambah baik terma dan syarat perjanjian pembangunan tanah-tanah itu. Katanya jawatankuasa berkenaan akan turut dianggotai wakil dari Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) selain ahli Lembaga Pengarah Felda. Tambahnya lagi penyertaan UKAS dalam jawatankuasa rundingan adalah kerana kepakaran dan pengalaman unit berkenaan dalam pembangunan tanah dan aset kerajaan. Tanah-tanah Felda di Jalan Semarak adalah termasuk dalam 24 lot tanah dengan luas keseluruhan lapan hektar yang dibangunkan SPSB untuk projek pembangunan bercampur KLVC. Shahrir bagaimanapun enggan mengulas mengenai nilai keseluruhan 24 lot tanah itu dan berulang kali menjelaskan, ia akan ditentukan dan dinilai jawatankuasa tersebut dibantu oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH). -Bernama