suria

Pasar Percuma Jadi Gerai Jualan, “Ini Adalah Zalim!”

Antara tapak pasar percuma yang khusus disediakan untuk orang ramai mendapatkan barang secara percuma. Foto Facebook #FreeMarket

PETALING JAYA: Tak kira kaya atau miskin, setiap yang percuma itu pastinya menarik perhatian, dan sejak kebelakangan ini banyak pasar percuma atau FreeMarket dianjurkan di lokasi tertentu untuk dikunjungi orang ramai.

Namun ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan konsep ‘percuma’ itu sebagai gimik untuk acara anjuran mereka yang sebenarnya adalah gerai jualan.

Perkara itu disedari oleh pengasas bersama gerakan #FreeMarket, Ahamad Emran Anwarudin, 37, mengenai taktik segelintir penganjur yang mengambil kesempatan atas tiket ‘percuma’.

Ahamad Emran Anwarudin.

Walaupun tiada hak cipta atau peraturan mengenai pasar percuma, tetapi katanya, ia tidak seharusnya dijadikan sebagai medan untuk mengaut keuntungan sehingga menganiaya orang ramai secara langsung atau tidak langsung.

“Tujuan pasar percuma ini adalah untuk orang ramai memanfaatkan barangnya yang tidak lagi digunakan tetapi masih dalam keadaan baik, kepada orang lain tanpa perlu membuangnya.

“Kebanyakan orang pula tertarik dengan pasar percuma kerana mengetahui barang yang disediakan boleh diambil secara percuma.

“Tapi kalau ada gerai yang menjual barang di pasar percuma, bukankah konsep percuma tu sudah jauh menyimpang,” katanya kepada mStar Online pada Ahad.

Tujuan pasar percuma untuk memberi manfaat kepada orang lain menerusi sumbangan barang. Foto Facebook #FreeMarket

Terdahulu, Ahamad Emran berkongsi pandangannya di laman sosial Facebook mengenai beberapa penganjuran oleh pihak lain dikesan menggabungkan aktiviti pasar percuma dan gerai jualan dan perkongsiannya itu telah tular.

Tanpa merujuk penganjur dan majlis tertentu, beliau berpendapat konsep percuma itu hanya mengakibatkan mereka di gerai jualan sukar atau tidak dapat menjual barangan mereka, terutama dalam kategori produk yang sama diberikan secara percuma.

“Ini adalah zalim, terutama jika pemilik gerai jualan dikenakan sewa tapak. Mentaliti orang yang datang ke pasar percuma hanya mengharapkan barang percuma. 

“Jika kena beli, mereka kemungkinan besar tidak berminat, malah tidak akan masuk pun ke kawasan gerai jualan,” katanya.

Kemungkinan berlaku ‘helah’ penganjur mahu mendapatkan kunjungan yang ramai dengan sedikit barang percuma, manakala gerai jualan lebih besar berlipat kali ganda.

“Bayangkan betapa kecewanya pengunjung yang hadir. Samalah juga dengan pasar percuma bila digabungkan dengan acara lain,” kata Ahamad Emran. 

Pasar percuma adalah berteraskan sumbangan dan tidak berorietasikan wang. Foto Facebook #FreeMarket

Namun katanya, pasar percuma boleh digabungkan dengan majlis lain yang mempunyai kaitan atau prinsip penganjurannya seperti acara sambutan Hari Bumi, Minggu Hijau mahupun aktiviti gotong-royong komuniti.

Jika gabungan itu dirasakan perlu, Ahamad Emran menjelaskan ia sepatutnya berlaku pada berlainan waktu, dan batasan kawasan yang amat jelas.

“Tapi, secara peribadi saya berpendapat adalah tidak sesuai pasar percuma dan gerai jualan digabungkan kerana kami mahu penerapan amalan mulia dan manfaat dalam masyarakat tanpa penindasan dan ketidakadilan,” katanya.

Gerakan kumpulan #FreeMarket di Facebook berkhidmat untuk komuniti sejak 2013 hanya menganjurkan aktiviti yang berteraskan sumbangan dan tidak beorientasikan wang, dan tahun lalu saja lebih 80 pasar percuma dianjurkan di seluruh negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain