suria

Pengarah Urusan Kumpulan BDB Meninggal Dunia

Izham Yusoff.

ALOR SETAR: Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Izham Yusoff, 50, meninggal dunia kira-kira 8.04 pagi Selasa di Hospital Pantai, Kuala Lumpur.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Joani Sofina Othman, 49, dan dua anak.

Pengurus Kanan, Komunikasi Korporat Kumpulan, Sajahan Abdul Waheed dalam satu kenyataan berkata, Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Pantai, Kuala Lumpur pagi Selasa.

“Allahyarham kembali ke rahmatullah pada hari ini, semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama golongan yang beriman,” katanya.

Allahyarham merupakan anak jati Bandar Baharu, Kulim dan proaktif menerajui BDB yang merupakan syarikat subsidiari Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dengan milikan ekuiti 67.28 peratus dan disenaraikan di Bursa Malaysia, di mana institusi itu terus gemilang sejak ditubuhkan pada 7 Februari 1995.

Allahyarham merupakan Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan BDB, di mana beliau dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas BDB pada Ogos 2013 dan kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Bukan Bebas pada Februari 2014.

Allahyarham turut dilantik sebagai ahli Lembaga Panel Pelaburan Tabung Haji pada 1 Oktober 2017.

Sebelum menyertai Kumpulan BDB, Allahyarham adalah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Percetakan Nasional Malaysia Berhad (Februari 2010 - Januari 2014).

Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif/ Ketua Pegawai Operasi Ninebio Sdn Bhd (2007-2010), Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif KUB Malaysia Berhad (2004- 2007) serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Amanah Raya Berhad (2002-2004) dan Pengarah Bursa Malaysia Berhad.

Allahyarham merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perakaunan & Perniagaan Antarabangsa) dari University of Miami, Amerika Syarikat dan berhasrat mahu melihat pembangunan di Kedah memanfaatkan rakyat negeri Jelapang Padi. - Sinar Online

Artikel Lain