suria

Sempat Ziarah Kubur Ayah Sebelum Maut

Arwah sempat menziarahi dan merakam gambar kubur arwah ayahnya yang sudah meninggal dunia lebih 15 tahun di Rantau. Foto Sinar Online

REMBAU: Seorang anak sempat menziarahi kubur ayahnya yang sudah meninggal dunia lebih 15 tahun lalu sebelum terbabit dalam kemalangan maut di kilometer 222.1, Lebuh raya Utara-Selatan (arah Selatan), berhampiran sempadan Rembau-Alor Gajah, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.05 malam itu, mangsa, Mohamad Syafiq Ridhwan Mohd Mustafa, 21, berasal dari Inas, Kuala Pilah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik susulan mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.

Menurut ibu mangsa, Salimah Hassan, 50, sebelum ini, arwah Mohamad Syafiq yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik ada meluahkan hasrat untuk menziarahi kubur ayahnya dan menjejaki kembali saudara mara arwah ayahnya di sebelah kawasan Rantau.

"Dia (arwah) ada cakap, Along nak pergi carilah bu... nak cari saudara ayah. Sebelum tu motor tak ada lagi, dalam dua minggu ni dia cakap lagi dan sehari sebelum kemalangan (Sabtu lalu), dia dapat juga jumpa pak saudara dia iaitu abang arwah ayah dia.

“Dia dapat ziarah kubur arwah ayahnya dan tangkap gambar. Masa arwah ayahnya meninggal sebab jatuh sungai semasa memancing dan lemas, dia masih kecil lagi,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tampin di sini, Isnin.

Salimah berkata, anaknya itu baru sahaja membeli motosikal jenis Yamaha 15ZR setelah bekerja di sebuah restoran francais di Tampin.

Menurutnya, ketika kejadian anaknya bersama rakan-rakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri sebuah program di Serdang.

"Pagi sebelum kejadian dia ada singgah di kedai tempat mak cik berniaga di Air Mawang. Dia salam dan cium tangan mak cik.

“Kebiasaannya, dia akan WhatsApp mak cik sebaik sampai di tempat program dan sekali lagi WhatsApp mak cik untuk memberitahu dia sudah selesai program serta ingin pulang," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, anaknya itu tidak menghubunginya dan dia berasa sangat bimbang sehinggalah dia mendapat panggilan daripada rakan anaknya yang memaklumkan Mohamad Syafiq maut dalam kemalangan.

“Dia memang anak yang baik, cuma nakal sedikit. Bagaimanapun, kawan ajak merokok dia tak pernah nak merokok dan sentiasa memberitahu mak cik apa yang dia buat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang di lorong tengah dipercayai telah melanggar bahagian bucu belakang sebelah kanan sebuah lori yang masih lagi belum diketahui di lorong yang sama.

“Susulan perlanggaran berkenaan, mangsa tidak dapat mengawal pergerakan motosikal lalu mangsa terjatuh di lorong tengah. Manakala, motosikalnya pula terjatuh di lorong kanan kira-kira 25 meter dari lokasi mangsa.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa di hantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat," katanya.

Anuar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Susulan insiden berkenaan, trafik bergerak perlahan sejauh enam kilometer dari lokasi kejadian.

INFO: Motosikal mangsa dipercayai melanggar bahagian bucu belakang sebelah kanan sebuah lori - Sinar Online

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain