suria

Pengantin Tidak Serik Merempat Di Negara K-Pop

Alif pada berhasrat untuk mencari pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan di Korea Selatan untuk digunakan sebagai perbelanjaan majlis perkahwinannya.

SEOUL: Pemuda berusia 23 tahun ini menyimpan hasrat untuk mengumpul RM18,000 dalam masa tiga bulan bagi menampung perbelanjaan majlis perkahwinannya yang dijadual berlangsung di kampung halamannya di Terengganu.

Selepas berfikir panjang, tunangan orang yang hanya mahu dikenali sebagai Alif ini akhirnya menerima tawaran kerja di Korea Selatan yang menjanjikan gaji sebanyak 1.7 juta won (RM6,375) sebulan.

Anak muda ini tidak menoleh ke belakang lagi semata-mata untuk merealisasikan hasratnya itu, namun segala-galanya berubah sebaik tiba di sini November 2017.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerana Winter Sonata, Rakyat Malaysia Bergelar Buruh Haram, Gelandangan

ARTIKEL BERKAITAN: Enam Kelompok Pati Malaysia Di Korea Selatan

"Hanya seminggu di sini terus kena buang kerja, selepas itu hampir dua bulan saya menganggur, merempat hingga terpaksa berhutang untuk beli tiket kapal terbang balik ke Malaysia.

"Tetapi, apa yang saya lalui tidak membuatkan saya serik untuk kembali ke sini selewat-lewatnya tahun depan," akuinya ketika ditemui  mStar Online semasa meninjau kehidupan rakyat Malaysia yang berstatus buruh haram di negara ini.

Pada 17 Februari lalu, Alif telah menamatkan zaman bujangnya dan kini berniaga kecil-kecilan di kampung halamannya bagi menampung kehidupan sebagai pasangan pengantin baharu.

Alif (tengah) bersama Farhan dan Syukri terpaksa mengikat perut selepas hilang pekerjaan.

"Sebelum ini saya pergi ke Korea pada waktu salah (musim sejuk). Ketika itu memang tidak banyak kerja," katanya yang bekerja sebagai nelayan menuai rumpai laut.

Kisah Alif adalah sebahagian gambaran kehidupan yang dilalui rakan senegaranya, Farhan dan Syukri. Mereka hidup sebagai gelandangan di Itaewon selepas diberhentikan kerja.

Tiga pemuda ini adalah antara 251,000 pekerja asing tanpa izin (Pati) yang bekerja di Korea Selatan, jumlah yang dilapor Korea Herald. Daripada bilangan itu, difahamkan kira-kira 5,000 adalah buruh haram rakyat Malaysia yang masuk ke negara ini sejak 2016.

“Kami dah macam gelandangan di sini, kadang-kadang menumpang tidur di Masjid Sentral Seoul pada setiap malam Sabtu dan Ahad.

“Bila kawan tanya sama ada saya sudah makan, hati jadi sayu kerana ‘lupa’ bila kali terakhir saya makan,” kata Alif.

Graduan Jadi Mangsa

Selain mereka bertiga, seorang graduan lulusan Diploma Multimedia Animasi dari institusi pengajian swasta di Malaysia, Zarul (bukan nama sebenar), 23, diarahkan pulang ke tanah air oleh majikannya selepas dua jari kirinya hampir hancur ‘dimakan’ mesin pemotong lobak putih.

“Majikan bayarkan bil hospital, tapi suruh saya dan seorang lagi rakan yang turut cedera untuk balik ke Malaysia kerana mungkin mereka enggan terus menanggung bil tersebut.

“Sementara menunggu majikan melunaskan gaji untuk tempoh 19 hari saya bekerja di kilang itu, saya bertemu dengan seorang sukarelawan rakyat Malaysia yang sudi membantu kami mendapatkan hak (gaji dan pampasan) untuk sepanjang tempoh menjalani rawatan di sini,” katanya ketika ditemui mStar Online di Itaewon.

Zarul mengalami kecederaan teruk pada dua jari kirinya ketika mengendalikan mesin pemotong lobak putih.

Itaewon merupakan daerah dengan populasi seramai 22,000 penduduk dan popular dalam kalangan rakyat tempatan, pelancong, ekspatriat serta anggota tentera Amerika Syarikat yang berpangkalan di situ.

Buat masa ini, Zarul mengharapkan ihsan sukarelawan berkenaan untuk memberikannya tempat tinggal sementara dan bayaran pemeriksaan kesihatan sebelum menerima pampasan daripada majikan.

Sementara itu, seorang lagi buruh haram, Siti (bukan nama sebenar) berkata, pada asalnya dia dan seorang kawan terbang ke Jepun untuk bercuti dan ketika di sana, mereka mendapat tahu terdapat pekerjaan kosong di negara ini.

“Selepas bercuti di Jepun, kami datang ke Korea untuk mencari kerja kerana duit semakin berkurangan. 

“Kami dapat kerja di Gwangju dan terpaksa tinggal bersama 18 pekerja lain dalam sebuah rumah yang hanya ada tiga bilik. Kami dah macam sardin sampaikan terpaksa tidur depan bilik air dan dapur untuk muatkan semua orang,” katanya ketika ditemui di sini.

Wartawan mStar Online (kanan) menemubual Siti di Daeso, Korea Selatan.

Dakwa Siti, keadaan bertambah buruk apabila dia dan rakannya terpaksa menganggur disebabkan tiada pekerjaan pada musim sejuk dan mereka turut ditipu ejen sebanyak 160,000 won (RM600) yang menjanjikan kerja tetap di Daeso, namun pekerjaan itu tidak wujud.

Kesemua buruh haram yang ditemui mStar Online itu hanyalah sebilangan daripada ribuan rakyat Malaysia yang dipercayai masih berada di negara ini dengan harapan dapat mencari pekerjaan lain apabila musim sejuk berakhir.

Namun, terdapat juga rakyat Malaysia yang sanggup berhutang untuk membeli tiket pulang sebelum ‘dihalau’ oleh Jabatan Imigresen atau kembali dengan tangan kosong kerana tidak sanggup hidup merempat di negara orang. 

Artikel Lain