suria

Tidur Awal Resipi Peroleh 9A Dalam SPM

KUALA PILAH: Tidak lokek ilmu dan sentiasa bertanya kepada guru antara resipi kejayaan seorang pelajar dari masyarakat Orang Asli yang memperoleh 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada Khamis.

Sufiza Majid, 18, dari kampung Orang Asli Guntur, Tengkek antara 128 calon yang berjaya mencipta kecemerlangan di Sekolah Menengah (SM) Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah.

Anak ketujuh daripada sembilan beradik itu memberitahu dia turut mempraktikkan tidur awal bagi memudahkan dia bangun seawal jam 5 pagi untuk mengulang kaji pelajaran.

“Telah menjadi rutin harian saya untuk tidur jam 11 malam dan bangun seawal lima pagi. Rutin ini memberi saya beberapa kelebihan seperti suasana yang nyaman dan tenang, udara yang segar, tiada gangguan, badan yang segar setelah rehat dan memudahkan saya mengingati apa yang dipelajari di sekolah serta di rumah,” katanya.

Sufiza sebelum ini memperoleh 8A dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Meskipun memiliki rekod cemerlang dalam PT3 dan UPSR, dia tidak mengambil enteng peperiksaan SPM sebaliknya memastikan setiap mata pelajaran mencapai keputusan yang seimbang.

“Apabila berlaku keputusan markah yang kurang seimbang dalam mana-mana mata pelajaran, saya akan melakukan penambahbaikan dengan bertanya kepada guru dan rakan-rakan sekelas.

“Saya juga akan memberi penekanan kepada mata pelajaran yang mengalami kemerosotan itu,” katanya. - Sinar Harian

keputusan SPM

Artikel Sebelum

Nazri Mohon Ampun

Artikel Berikut

Artikel Lain