IPOH: Syarikat penerbangan hibrid Malaysia, Malindo Air mengadakan semula penerbangan dari Ipoh ke Medan, Indonesia. Penerbangan dari Ipoh ke Medan pada pukul 10.05 pagi manakala penerbangan dari Medan ke Ipoh pada pukul 11.20 pagi. Pada tahun 2014, Malindo Air pernah melancarkan penerbangan Ipoh-Medan-Ipoh, namun ia tidak bertahan lama atas sebab tertentu. Harga tambang yang ditawarkan oleh Malindo Air kali ini ialah serendah RM169 sehala, namun harga itu akan berubah dari semasa ke semasa. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata kekerapan penerbangan dari Ipoh ke Medan adalah empat kali seminggu iaitu pada hari Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad. Beliau berkata dengan adanya laluan penerbangan ini diharap dapat menambah bilangan pelancong melalui Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS). “Kita lihat pada tahun 2016 kita terima bilangan ketibaan pelancong sebanyak 269,601 manakala pada tahun lepas sebanyak 273,713," katanya ketika sidang media selepas menyambut ketibaan penerbangan pertama Malindo Air dari Medan ke Ipoh di LTSAS di sini pada Jumaat. Mengulas lanjut, Nolee Ashilin berkata dengan kembalinya penerbangan itu ia merupakan peluang terbaik kepada penggiat industri pelancongan di Perak untuk memasarkan produk mereka ke negara itu. Katanya, penggiat industri pelancongan Perak perlu mempelbagaikan pakej dan perkhidmatan pelancongan bagi merancakkan lagi industri tersebut di negeri ini. “Potensi untuk kita kembangkan industri pelancongan khasnya kepada pelancong negara jiran amat besar, jadi kita harapkan semua pihak sama ada dari agensi swasta dan kerajaan memainkan peranan dengan menyediakan pakej dan perkhidmatan yang lebih kreatif untuk kita pasarkan. “Kali ini sasaran kita kepada pelancongan perubatan dan hiburan keluarga. Jadi padanan perniagaan ini akan disertai oleh hospital di Perak yang menerima pelancong kesihatan serta pemilik produk yang akan memastikan penerbangan Medan/Ipoh ini akan membawa lebih ramai pelancong dari negara jiran itu," katanya. - Bernama