KUALA LUMPUR: Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan mengadakan mesyuarat “maklum balas” bersama pengurusan tertinggi HKL bagi menetapkan strategi kontingensi berhubung kebakaran di stor penyimpanan peralatan Jabatan Patologi di Insititut Forensik Perubatan Negara (IFPN) di HKL pada Sabtu. Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma HKL Dr Alzamani Mohammad Idrose berkata mesyuarat berkenaan akan disertai ketua-ketua jabatan, ketua jururawat, pihak kejuruteraan dan bahagian farmasi bagi membincangkan Pelan Kesinambungan Perkhidmatan. Beliau berkata perbincangan terperinci akan dibuat bagi memastikan semua pesakit dan petugas selamat serta sistem dan operasi HKL berjalan lancar. “HKL mempunyai Pelan Kontingensi bagi memastikan kelancaran operasi dan Alhamdulillah kerana perkhidmatan hospital masih dapat berjalan lancar walaupun terdapat gangguan dengan kerja-kerja pembaikan pihak kerjuruteraan bagi memastikan keselamatan hospital terjamin. “Oleh yang demikian, bahagian Zon Hijau dan Kuning yang terletak berhampiran dengan lokasi kebakaran ditutup sementara kerana bau asap yang dibawa angin dan bukannya kerana terbakar,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu. “Zon ini akan dibuka semula dan dijangka tidak mengambil masa yang lama. Selaras dengan Pelan Bencana Hospital, pesakit-pesakit perlu dimasukkan ke wad dengan segera supaya ruang rawatan dapat menampung pesakit-pesakit Zon Kuning,” katanya. Dr Alzamani Mohammad berkata keadaan dapat dikawal dengan baik berdasarkan respons yang pantas dari semua pihak. “Pada masa ini pihak bomba sedang menjalankan siasatan forensik bagi memastikan dengan jelas akan punca kebakaran. “Makanya, segala ruang diberikan supaya siasatan dapat berjalan dan punca dikenalpasti dan pada masa pihak kejuruteraan sedang membuat pemantauan dari segi bekalan gas oksigen dan bekalan elektrik,” katanya. Beliau berkata HKl masih terus beroperasi seperti biasa dan dapat menampung kesemua keperluan pesakit yang ingin mendapatkan rawatan sama ada yang memerlukan wad. Bernama