suria

Tragedi Lauk Kenduri

Kakitangan Pejabat Kesihatan Baling hadir untuk memeriksa pelajar. Foto Sinar Online

BALING: Seramai 47 pelajar bersama enam kakitangan Maahad Tahfiz Nur Jannah (Manja) keracunan makanan dipercayai akibat makan kenduri pada Sabtu lalu.

Pelajar, Muhammad Ikmal Hakimi, 12, berkata, lauk ayam masak merah dimakannya agak berbau.

“Makan di kenduri pertama tak rasa apa, sampai di kenduri kedua saya hanya makan lauk ayam saja. Lauk tu tak rasa basi, tapi cuma berbau.

“Lepas habis solat Maghrib perut rasa sakit. Saya tak cirit birit, cuma muntah saja,” katanya ketika ditemui di Manja, Kampung Charok Bemban.

Seorang lagi pelajar, Mohd Isa Kamaruddin, 17, berkata, perutnya mulai rasa tidak selesa selepas waktu Asar.

Menurutnya, lauk ayam dimakan rasa masam dan ia dipercayai punca kepada sakit perut dialaminya.

“Saya makan lauk ayam masak merah dan sambal belacan. Lauk ayam tu rasa masam-masam sedikit,” katanya.

Shamer Roslan, 15, pula berkata, dia kerap membuang air besar selepas makan kenduri itu.

“Masa pi kenduri kedua, saya makan lauk ayam masak pedas dan sakit perut waktu Maghrib.

"Perut rasa sakit sangat sampai tak boleh nak buat apa. Pertama kali jadi macam ni, lepas pi hospital pun masih sakit perut dan muntah-muntah,” ujarnya.

Menurutnya, akibat kejadian itu, dia trauma untuk menghadiri jemputan kenduri seterusnya.

“Kalau dipanggil pi program lagi, saya takut dah nak pi, bila jadi macam ni takut sangat,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Manja, Md Daud Abdul Rahman berkata, susulan kes itu, mereka yang sakit dibawa ke Hospital Baling.

“Lebih 20 kakitangan Pejabat Kesihatan Baling juga datang ke madrasah untuk buat pemantauan lanjut.

“Saya difahamkan pejabat kesihatan pun sedang mencari punca sebenar,” katanya.

Menurutnya, untuk sementara waktu, semua pelajar tidak dibenarkan pulang. - Sinar Online

Artikel Lain