suria

Buat Kejutan Pada Wacana Adakah Dirinya Terlalu Tua Jadi PM, Ini Jawab Tun M

Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kejutan apabila turut sama menghadiri Wacana Sinar Harian ke-53 yang berlangsung di Dewan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) di Shah Alam pada Khamis.

Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri tiba di lobi Karangkraf sekitar pukul 4 petang bagi mengikuti program tersebut yang bertajuk 'Apakah Tun M, terlalu tua untuk jadi PM?'.

Dr Mahathir yang berpakaian lengkap serba kelabu turut ditemani isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali.

Siri wacana pada kali ini menampilkan Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, pakar psikologi, Prof Datuk Dr Mat Saat Mohd Baki dan Cikgu Fitness Malaysia, Kevin Zahri Abdul Ghaffar.

Menurut laporan Sinar Online yang menganjurkan wacana itu, Dr Mahathir dipetik sebagai berkata beliau mampu menggalas tugas sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan (Harapan) memenangi PRU-14 walaupun usianya hampir 93 tahun.

Menurutnya, beliau tidak akan bersetuju dicalonkan sebagai perdana menteri sekiranya tidak yakin dengan kemampuannya menerajui pentadbiran negara.

“Saya pun tidak akan duduk lama (sebagai perdana menteri). Saya ingat sampai umur 95 atau 96 saya akan berundur,” katanya kepada Sinar Harian selepas wacana itu.

Sebelum ini, keadaan kesihatan Mahathir menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong Harapan kerana bekas perdana menteri itu mengalami batuk sewaktu menyampaikan ucapan semasa Jelajah Harapan di Gunung Besout, Tanjung Malim, baru-baru ini.

Mengenai pencalonan beliau sebagai perdana menteri, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Harapan memberitahu, banyak perkara dapat dilakukan dalam tempoh 100 hari selepas Harapan mengambil alih pentadbiran negara.

“Antaranya, memulihkan semula sistem perundangan di negara ini, (menangani masalah) penyalahgunaan kuasa dan lain-lain,” katanya.

Dr Mahathir Mohamad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain