PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mengkaji langkah untuk menambah bilangan pelajar kaum India di kolej matrikulasi dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu. Beliau berkata ini kerana kemasukan pelajar kaum itu di IPTA negara ini belum mencapai sasaran tujuh peratus buat masa sekarang. "Kerajaan sedang mengkaji tambah bidang atau tempat matrikulasi supaya bilangan kaum India ditambah. Kita berharap melalui pelbagai intervensi khas, kita boleh mencapai sasaran ini. "Sebagai sebuah kerajaan yang bersifat inklusif, kita sentiasa memastikan tiada siapa harus tercicir dalam arus pembangunan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Yayasan MyNadi, yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan untuk meningkatkan taraf hidup kaum India di negara ini. Turut hadir Pengerusi Yayasan MyNadi, Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai. Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata 100,000 isi rumah masyarakat India kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) akan berpeluang menyertai skim pelaburan khusus dalam Amanah Saham 1Malaysia (A1SM) yang dilancarkan pada 7 April ini. "Pengumuman lanjut akan dibuat pada tarikh tersebut. Setakat ini, 411.14 juta unit saham telah dilanggan masyarakat India melalui pengagihan khas 1.5 bilion unit tambahan A1SM untuk masyarakat kaum India yang telah dibuka pada 29 Januari iaitu tiga bulan lalu. "Ini merupakan satu pencapaian yang sangat menggalakkan. Jadi, percayalah saya ingin setiap rakyat Malaysia termasuk kaum India merasakan ada harapan untuk semua dalam negara kita," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada lebih 700 peserta yang hadir pada majlis itu. Najib berkata kerajaan sentiasa memupuk semangat 'nambikei' sesama masyarakat untuk bergerak ke hadapan sebagai satu bangsa untuk menjamin kesejahteraan dan kemakmuran rakyat. "Di bawah kepimpinan sekarang, kami akan terus membantu masyarakat India untuk berada di tempat yang sewajarnya di negara ini. Itulah harapan saya,” katanya. -Bernama