suria

Bekas Tentera Dipenjara 197 Tahun, 79 Sebatan Akibat Salah Guna Dana

MELAKA: Seorang bekas anggota tentera berpangkat koperal dijatuhi hukuman penjara 197 tahun enam bulan (2,370 bulan) dan 79 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, Khamis atas 79 pertuduhan menyalahgunakan peruntukan Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Kem Sungai Udang berjumlah RM50,238.10, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap Musa Md Dawi, 28, yang kini merupakan pekerja kontrak, selepas dia mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, dikenakan hukuman penjara 30 bulan dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan dan hukuman berkenaan berjalan serentak bermula Khamis.

Ini bermakna tertuduh akan menjalani hukuman penjara selama 30 bulan dan 79 sebatan.

Lelaki itu didakwa atas 74 pertuduhan menyalahgunakan peruntukan pembayaran elaun perjalanan dan tuntutan cuti tahun Pulpak dengan mencipta baucar pembayaran seterusnya bayaran berjumlah RM46,281.10 itu dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Musa turut menghadapi tiga pertuduhan menyalahgunakan peruntukan pembayaran elaun perjalanan Pulpak dengan mencipta baucar pembayaran seterusnya bayaran berjumlah RM3,067.60 itu dimasukkan ke dalam akaun bank milik Anuar Bolhassan.

Tertuduh juga didakwa atas dua lagi pertuduhan menyalahgunakan peruntukan pembayaran elaun perjalanan dan tuntutan cuti tahun Pulpak dengan mencipta baucar pembayaran seterusnya bayaran berjumlah RM889.40 itu dimasukkan ke dalam akaun bank milik Mohd Ramdan Mohd Sani.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di Pejabat Belanjawan, Pulpak, Kem Sungai Udang antara 25 April hingga 1 Julai 2016.

Bagi kesemua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya serta masyarakat berikutan dia merupakan penjawat awam dan anggota tentera yang menjaga keselamatan awam, namun gagal menggalas tanggungjawab.

Menurut beliau, Musa juga telah melarikan diri dan gagal hadir di mahkamah untuk sebutan semula kes dan perbicaraan sehingga waran tangkap dikeluarkan, sekali gus menyusahkan banyak pihak selain melibatkan kos tambahan untuk mencarinya.

Musa bagaimanapun merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung isteri serta ibu dan bapanya yang menghidap sakit jantung.  -- Bernama

Musa Dawi, Pulpak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain