PETALING JAYA: Gara-gara gambarnya asyik bermain permainan mudah alih popular, ‘Mobile Legends’ pada hari pernikahan menjadi tular, seorang pengantin lelaki dikecam netizen. Rata-rata yang mengkritik berpendapat bahawa ‘kaki game’ ini adalah lelaki yang tidak bertanggungjawab, malah golongan isteri yang mempunyai suami sedemikian dinasihatkan terpaksa bersabar menjalani kehidupan berumah tangga. Bagaimanapun, kakak ipar kepada pengantin lelaki berkenaan tampil membidas segala kecaman netizen menerusi ruangan komen di Facebook. ARTIKEL BERKAITAN: ‘Berdoa’ Main Mobile Legends Sebelum Nikah, Ini Jawab Pengantin! Antara gambar pengantin sedang bermain permainan 'Mobile Legends'. Foto Rudy Aqsara “Ini adik ipar aku. Mungkin akad nikah je main ‘game’. Tapi dia taklah seperti yang kau orang sangkakan. Dia anak sulung dari dua beradik yang sangat bertanggungjawab… susah dapat kerja buka restoran dia lah chef (tukang masak). “Esok pagi lepas kenduri (kahwin) pergi belakang rumah aku tolong sapu sampah-sampah yang berselerak kat belakang rumah tu. Lepas tu tengah hari duduk bersila kat dapur tolong mak aku kupas bawang, ambik serai kat tanah tu haa... nak buat sup tulang untuk keluarga aku. Jangan tau kecam saja,” kata pengguna Facebook, Gincu Merah yang turut memberitahu adik iparnya pernah menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pengantin lelaki berkenaan, Mohamad Hafizzul Hilmi Abdul Alim mengusahakan kedai makan yang dikenali Nasi Ayam Casper di Kota Bharu, Kelantan. Bercakap kepada mStar Online, pemuda berusia 28 tahun itu memberitahu dia telah mengusahakan perniagaan tersebut sejak empat tahun lalu. Jelasnya, dia memperoleh ijazah sarjana muda dalam jurusan Geografi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebelum menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana (Master) dalam Pengurusan Persekitaran di UKM beberapa tahun lalu. Mohamad Hafizzul sedia menggalas tanggungjawab sebagai suami. Dia bagaimanapun tidak menghabiskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana berikutan komitmennya dalam perniagaan dan tanggungjawab kepada keluarga. “Alhamdulillah, saya mempunyai pendapatan dengan hasil titik peluh sendiri untuk keluarga dan isteri,” kata Mohamad Hafizzul. Sementara itu, isterinya, Fatin Fatihah Shamsuddin, 28, mengesahkan bahawa pengguna Facebook, Gincu Merah itu adalah kakak kandungnya yang dikenali sebagai Norhafizah, 30. Dia merupakan anak bongsu, manakala Norhafizah anak kelima daripada tujuh adik-beradik. Menurut Fatin, sikap Mohamad Hafizzul yang penuh tanggungjawab membuatkan dirinya sedia menjadi suri kepada pemuda yang berasal dari Tumpat itu. Sikap bertanggungjawab Mohamad Hafizzul menambat hati Fatin. Foto Facebook Raizo Assasins Selama hubungan cinta hampir setahun lalu, dia cukup mengenali lelaki itu sebagai seorang ‘kaki game’ selain komited dengan perniagaan yang diusahakannya. “Walaupun sibuk dengan kerja dan hal keluarga... tapi dia masih mempunyai masa untuk saya. Dia juga seorang yang peramah dan hormat ibu bapa dan keluarga saya. “Biarlah dia ‘kaki game’ pun, apa yang lebih penting dia tunaikan tanggungjawab. Lepas kahwin ni pun dia rajin masak untuk saya,” kata Fatin sambil menambah menyukai sup Tom Yam makanan laut hasil air tangan suaminya. Pada Khamis, mStar Online melaporkan Mohamad Hafizzul menjelaskan tindakannya bermain permainan popular itu sebelum akad nikah berlangsung di masjid bukan disengajakan, sebaliknya mahu menghilangkan perasaan gementar sementara menunggu ketibaan tok kadi. Bagaimanapun dia memohon maaf sekiranya tindakannya itu dianggap tidak menghormati rumah ibadat selain mengundang rasa kurang senang masyarakat.