SEPANGGAR: Dewan Rakyat mungkin akan dibubarkan sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan manifesto Barisan Nasional (BN) menjelang akhir minggu depan, kata Pengarah Komunikasi Strategis Barisan Nasional, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pada Ahad. "Ada kemungkinan... berdasarkan pengalaman kami yang dulu, pelancaran manifesto Barisan akan diadakan selepas pembubaran Parlimen. Itulah tradisi. "(Tetapi) Saya tidak pasti sama ada Datuk Seri Najib akan menggunakan kaedah yang sama," katanya kepada pemberita selepas meneliti keadaan jalan dan saliran di Sepanggar di sini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, manifesto tersebut dijangka dilancarkan pada minggu depan, manakala hari terakhir persidangan Dewan Rakyat akan diadakan pada 5 April. "Seseorang memberitahu saya, tetapi saya tidak dapat mengesahkan, anda (orang) boleh menjangkakan minggu depan Parlimen akan dibubarkan," katanya. Menurut Abdul Rahman, pelancaran manifesto itu akan diadakan pada perhimpunan besar di Bukit Jalil. Katanya, beliau telah melihat manifesto itu dan akan ada perkara yang 'baik dan mengejutkan' untuk Sabah. "Terdapat juga beberapa perkara (dalam manifesto) yang tidak pernah difikirkan sebelum ini, tetapi kami (pemimpin Barisan Sabah) berjuang keras untuk perkara tersebut supaya Perdana Menteri memasukan satu atau dua perkara dalam manifesto itu. Hanya perlu tunggu sehingga pelancaran (untuk mengetahui perkara itu), "katanya. Abdul Rahman berkata, hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga akan dimasukkan dalam manifesto itu.