suria

Dewan Negara Lulus RUU Antiberita Tidak Benar 2018

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018, yang menunjukkan keseriusan kerajaan menangani  masalah penyebaran berita tidak benar dalam perkembangan teknologi moden.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran mengumumkan bahawa rang undang-undang itu diluluskan dengan suara majoriti setelah dibahaskan oleh 17 senator.

Ia dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said tengah hari Selasa. 

Azalina ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, kerajaan memperkenalkan RUU bukan sama sekali untuk menyekat kebebasan bersuara sebaliknya  bertujuan mengekang penularan berita tidak benar.  

Beliau berkata, walaupun terdapat beberapa undang-undang yang berkaitan namun sehingga hari ini isu melibatkan berita tidak benar tidak dapat dikawal secara efektif berikutan perkembangan semasa teknologi maklumat yang semakin pantas dan kompleks. 

Apatah lagi, undang-undang yang sering disebut dalam perkara ini seperti Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah digubal pada atau sebelum tahun 1990-an, yang tidak dapat menangani sifat kesalahan yang kompleks seiring dengan peredaran teknologi terkini," katanya. 

Azalina berkata, langkah membawa RUU berkenaan pada persidangan Parlimen kali ini adalah mengikut takwim Parlimen yang telah ditetapkan.

"Ada yang bertanya kenapa RUU ini dibentangkan sekarang. Jawapan saya, jika bukan sekarang, bila lagi? Jika ada yang kata ia ada kaitan dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ia tidak ada kaitan dengan PRU kerana saya tidak tahu bila PRU akan diadakan. 

"Tetapi semua tahu bila PRU perlu diadakan, (jadi) mungkin orang lihat pada kebetulan. Sebenarnya, ia telah diletakkan di dalam kalendar Dewan Rakyat dan Dewan Negara kali ini yang kebetulan berlangsung pada Mac dan April ini," katanya. 

Beliau menjelaskan RUU itu juga akan memberikan mesej yang jelas bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita tidak benar yang boleh memudaratkan ketenteraman awam atau negara.

Dewan Negara

Artikel Lain