suria

SPRM tahan penolong pegawai pertanian cadang isteri laksana projek getah

Gambar hiasan. - Bernama

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu menahan seorang penolong pegawai pertanian di sebuah badan berkanun persekutuan kerana disyaki terlibat rasuah berhubung program tanam semula getah.

Menurut sumber SPRM, suspek yang berusia 47 tahun itu, berkhidmat di Negeri Sembilan dipercayai mencadangkan isterinya menjayakan program itu di bawah Skim Bantuan Tanam Semula.

“Amaun yang terlibat dalam aktiviti itu adalah RM18,900 dan suspek dikatakan mencadangkan perbuatan itu dilakukan di beberapa lot tanah.

"Suspek ditahan ketika hadir membantu siasatan di SPRM Negeri Sembilan pada 5.25 petang," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

“Suspek dijangka direman esok bagi membantu siasatan,” katanya.

SPRM, rasuah

Artikel Lain