suria

“Jangan ghairah rendang ayam, sampai lupa kebaya merah!”

Paparan skrin video kelibat hantu berkebaya merah yang menggemparkan netizen.

PETALING JAYA: Kisah rendang ayam dan kebaya merah yang tular dan menjadi kontroversi sejak kebelakangan ini menjadi topik perdebatan netizen khususnya rakyat Malaysia.

Kelibat, kononnya hantu berkebaya merah dalam sebuah video tular sebenarnya adalah gimik untuk mempromosikan filem Dukun yang kini ditayangkan di seluruh negara.

Isu rendang ayam pula menjadi topik hangat susulan kritikan juri program realiti MasterChef UK yang mengkritik masakan rendang ayam yang disajikan seorang peserta Malaysia sehingga tersingkir kerana ayamnya tidak rangup.

Namun satu posting di laman sosial menarik perhatian ramai apabila menggabungkan keghairahan menjamah rendang ayam, tanpa melupakan pemakaian kebaya merah.

“Dalam keghairahan kita menjamah rendang ayam pujaan, ketahui sedikit sebanyak mengenai kalori rendang agar kebaya merah dapat digayakan dengan ramping bergaya,” demikian posting di laman Facebook Public Health Malaysia (PHM).

Ia merupakan satu platform untuk menyampaikan maklumat mengenai perkembangan dan isu berkaitan kesihatan awam serta menumpukan pencegahan, perlindungan dan promosi kesihatan.

Peserta Malaysia, Zaleha Kadir Olpin yang tersingkir dari pertandingan MasterChef UK kerana masakan rendang ayam.

Menurut posting itu, pengambilan kalori makanan sehari berdasarkan Panduan Diet Malaysia, 2010 untuk orang dewasa berumur antara 18 dan 59 tahun yang normal adalah 2,000 kilokalori (kcal) untuk lelaki dan wanita 1,500 kcal.

Katanya, dua ketul rendang daging lembu mengandungi 130 kcal, manakala seketul rendah ayam bersamaan dengan 148 kcal.

Sekiranya gemar makan rendang, orang ramai dinasihatkan supaya memilih rendang ayam berbanding rendang daging, selain menyarankan pengambilan bahagian ayam kurang lemak dan tidak banyak kulit, seperti bahagian dada.

“Sama ada crispy (rangup) atau tidak, disarankan untuk membuang kulit.

“Dalam satu hidangan utama, kita dinasihatkan untuk mengambil tidak lebih 500 kcal. Jadi, rancanglah pengambilan makanan anda dengan bijak demi mengekalkan kesihatan dan ‘kerampingan’, menurut posting bertajuk ‘Berapa Kalori Rendang Tidak Crispy?’, yang turut dikongsi oleh halaman rasmi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain rendang ayam dan daging, ia turut menyenaraikan jumlah kalori bagi serunding daging (satu sudu) iaitu 80 kcal dan seketul ayam masak merak  (140 kcal).

Masakan rendang menjadi kegemaran dan kegilaan rakyat Malaysia serta menjadi hidangan wajib sempena Aidilfitri, membuatkan PHM berjenaka: “Bayangkan jika PHM mengeluarkan kenyataan “Awas Bahaya Rendang”, pasti halaman ini diserang sehingga perlu ditutup serta merta!”

Panduan pemakanan rendang itu bukan sahaja dikongsi ramai dengan menyifatkan sebagai salah satu cara berkesan untuk memberi kesedaran, termasuk komen lucu.

“Cara baik untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran awam. Tahniah (KKM)!,” kata pengikut Facebook Mohd Afzanizam Mohd Badrin.

“Sebelum raya boleh lagi berkebaya merah. Tunggu seminggu lepas raya, dah tak boleh butang. Bukan rendang je, termasuk kuih-kuih manis, lemang, ketupat… nangis kat bucu dapur,” kata seorang netizen Cik Puan Hanna.

rendang ayam, kebaya merah, kalori

Artikel Sebelum

Artikel Lain