suria

Logo PKR: DAP akui undi terjejas

Lim Guan Eng.

GEORGETOWN: DAP mengakui penggunaan hanya satu logo iaitu PKR pada PRU14 akan menjejaskan undi terhadap parti itu.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, ramai penyokong parti itu tidak biasa khususnya di kawasan yang selama ini ditandingi DAP dan tidak pernah ditandingi PKR.

Menurutnya, pihaknya perlu menjelaskan kepada pengundi dan penyokong parti itu.

“Itulah sebabnya satu perhimpunan besar akan diadakan Isnin ini di Petaling Jaya dan program sama juga akan dibuat di Pulau Pinang.

“Kita tahu bahawa ahli-ahli kita yang sudah sebati dengan roket memang agak sedikit bermasalah dan kurang puas hati dengan keputusan yang dibuat pucuk pimpinan untuk guna logo PKR,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada majlis penyampaian anugerah pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 peringkat negeri Pulau Pinang di Auditorium A, Komtar, Sabtu.

Menurutnya, penggunaan logo bersama itu adalah bertujuan untuk meningkatkan peluang rakyat melaksanakan perubahan.

“Memang ini satu pengorbanan DAP yang merupakan parti paling lama dalam Pakatan Harapan.

“Tetapi sekiranya ia perlu untuk menyatukan rakyat bagi menangkis segala tohmahan, fitnah dan pembohongan tentang isu perkauman, ia berbaloi kalau berjaya,” katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, walaupun ia satu keputusan yang agak sukar bagi penyokong dan ahli tegar, tapi ia harus dilakukan supaya dapat menyatukan rakyat Malaysia untuk membuat perubahan.

Beliau turut berharap rakyat dapat menyokong penggunaan logo bersama supaya ada pertandingan satu lawan satu.

“Inilah pilihannya iaitu logo bersama Pakatan Harapan. Kita telah siapkan manifesto lebih awal, kita telah putuskan agihan kerusi lebih awal berbanding BN.

“Kita juga ada calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri. Malah kita ada bonus iaitu calon perdana menteri yang ke-8 juga telah diputuskan,” katanya. - Sinar Online

DAP, PRU14

Artikel Lain