suria

Permohonan palsu: Pegawai bank, suami isteri dibebaskan

PUTRAJAYA: Seorang ketua unit pemasaran dan pembiayaan sebuah bank serta sepasang suami isteri yang direman berhubung kegiatan memalsukan permohonan pembiayaan tahun lalu, dibebaskan masing-masing dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majistret Nadhirah Abd Rahim membenarkan ketiga-tiga individu tersebut dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM9,000 dan dua penjamin.

Pegawai wanita berumur 30 tahun dan suami isteri, masing-masing 36 dan 37 tahun itu yang ditahan dalam operasi SPRM pada kira-kira 11 pagi 3 April lalu direman lima hari bermula 4 April lepas.

Media sebelum ini melaporkan pegawai wanita tersebut yang berkhidmat di bank cawangan Putrajaya di sini dipercayai menerima rasuah kira-kira RM150,000 daripada pasangan suami isteri itu sebagai balasan membuat perakuan pengesahan majikan palsu bagi meluluskan satu pembiayaan peribadi, tahun lalu.

Pasangan itu dikatakan bertemu kakitangan bank berkenaan untuk mendapatkan pembiayaan peribadi, bagaimanapun permohonan dikemukakan dipercayai tidak lengkap dan ketiga-tiganya berpakat membuat pengesahan palsu bagi memudahkan proses kelulusan.

Siasatan awal mendapati suami isteri terbabit merasuah kakitangan bank itu sebagai balasan kerana membuat perakuan pengesahan majikan agar permohonan pembiayaan itu diluluskan.-- Bernama

SPRM, permohonan palsu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain