suria

“Pandangan ikhlas untuk rakyat Johor yang saya sayangi” - TMJ

Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi pandangan kepada rakyatnya berhubung isu politik yang berlaku di Johor dan negara ini.

Dalam kenyataan panjangnya di halaman Facebook Johor Southern Tigers pada Sabtu malam, beliau berkata, tanpa mengira parti yang memerintah atau pembangkang, rakyat perlu bijak menilai apa yang terbaik untuk negeri ini dan negara.

Dalam situasi politik, katanya, rakyat hanya mendengar mengenai apa yang disampaikan oleh ahli politik di dalam ucapan mereka atau di media sosial.

“Semua maklum bahawa ahli politik ini apabila inginkan sesuatu, mereka akan menabur janji-janji manis. 

“Saya bukan ahli politik tetapi saya juga ada agenda saya sendiri dan agenda saya adalah untuk kedaulatan negeri Johor dan kesejahteraan rakyat Johor,” katanya.

Berikut adalah kenyataan penuh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim:

Pandangan Ikhlas Saya Untuk Rakyat Johor Yang Saya Sayangi...

Hanya pandangan peribadi saya untuk rakyat Johor.

Assalamualaikum W.B.T. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi pandangan dan pesanan saya kepada rakyat Johor yang saya kasihi sekalian. Saya memberi nasihat dan berkongsi pendapat saya bukan sebagai ahli politik yang perlukan undian, tetapi ia datang dari hati saya sebagai seorang anak Raja yang berkhidmat kepada rakyatnya. Taat setia saya adalah kepada Sultan saya, negeri Johor dan rakyat saya. DYMM Sultan Johor dan saya saling berkongsi pandangan dan inisiatif apa yang terbaik buat masa hadapan negeri Johor. Bukan sahaja dalam segi pentadbiran kerajaan tetapi untuk memperbaikinya dan menjadi kuasa ekonomi dalam negara, menangani mentaliti ektrimis, menaiktaraf sistem pendidikan dan sistem kesihatan.

Dengan senario politik yang berlaku sekarang dalam negara, tidak kiralah parti yang memerintah atau parti pembangkang, rakyat perlu pandai menilai apa yang terbaik untuk negeri kita dan negara. Dalam situasi politik, rakyat hanya dengar apa yang disampaikan oleh ahli politik di dalam ucapan mereka atau di media sosial. Tetapi yang tahu situasi sebenar adalah DYMM Sultan Johor dan saya sendiri. Apa sahaja rahsia sulit dan agenda mereka kami tahu. Semua maklum bahawa ahli politik ini apabila inginkan sesuatu, mereka akan menabur janji-janji manis. Saya bukan ahli politik tetapi saya juga ada agenda saya sendiri dan agenda saya adalah untuk kedaulatan negeri Johor dan kesejahteraan rakyat Johor.

Semua maklum bahawa Umno dilahirkan di negeri Johor, di dalam istana negeri Johor. Saya tahu buat masa ini rakyat semua berkecil hati terhadap kepimpinan negara dan saya faham. Bagi pandangan saya, Umno perlu lebih aset daripada liabiliti. Ia bermakna Umno perlu bertukar cara pentadbiran dan pemikiran serta polisi terutama sekali sistem hirarki. Kita perlu lebih aset iaitu orang-orang muda yang ingin berkhidmat kepada negara dan berkongsi pengetahuan mereka yang berpotensi.

Saya juga tidak akan lupa siapa yang merosakkan Umno, yang menjadi peneraju dan melahirkan kroni-kroni, melahirkan korupsi, melahirkan proksi dan juga siapa yang cuba menarik kuasa-kuasa Diraja termasuklah cuba untuk membubarkan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) yang kami semua sayangi. Kedaulatan negeri Johor jangan dipersoalkan. Kami telah wujud dari tahun 1885 sehingga kerajaan persekutuan juga belajar protokol, pentadbiran dan perlembagaan daripada kami. Kami adalah negeri pertama yang mempunyai perlembagaan sendiri dan ia menjadi contoh kepada negara. Kadangkala kita tidak boleh menyalahkan sesebuah organisasi atau parti oleh kerana hanya seorang yang bermasalah.

Saya tidak lupa pada tahun 1992 ketika saya kecil dahulu dan nakal di sekolah, cikgu akan bercakap kepada saya, “Awak jangan main-main, awak tu kerabat diraja. Jika saya mengadu kepada Mahathir, habis awak.” Begitu juga dengan kisah Prebet Adam dimana Almarhum Sultan Iskandar iaitu datuk saya yang tidak ada peluang untuk mempertegakkan diri kerana ketika zaman itu tiada kemudahan internet, semua media dikawal oleh kerajaan.

Media mengeluarkan kenyataan kononnya prebet Adam mengamuk apabila mendapat tahu adik beliau dibunuh oleh Sultan Johor ketika itu. Sedangkan Prebet Adam tiada adik lelaki dan hanya ada adik perempuan yang meninggal dunia ketika berumur 2 tahun dalam tragedi rumah terbakar. Saya juga ada berjumpa dengan seorang individu berasal dari Kedah pada tahun lepas. Beliau yang bercerita kepada saya yang beliau berjumpa dengan Prebet Adam dan Prebet Adam menceritakan bagaimana dia dipaksa sepanjang 10 hari di dalam bilik sel yang gelap oleh anggota polis untuk mengaku yang Sultan Johor membunuh adiknya. Inilah yang sanggup dilakukan oleh kepimpinan tertinggi kerajaan ketika itu demi mendapatkan kuasa sepenuhya di dalam negara.

Rakyat jangan mudah tertipu dengan individu lidah bercabang dua seperti ular. Buat masa ini individu tersebut bukan ingin selamatkan negara tetapi apa yang dia sedang lakukan sekarang adalah kerana takut apa akan terjadi kepada anak-anaknya pada masa akan datang. Sedangkan orang yang paling kaya di dalam dunia pun belum pasti mampu untuk melahirkan tiga orang anak yang ‘billionaire’. Nasihat saya kepada rakyat Johor, jikalau kita tidak suka sesuatu dengan kerajaan, laungkan suara kita untuk pastikan mereka tahu apa yang kita inginkan. Anda semua mempunyai DYMM Sultan Johor dan saya di mana kami boleh sampaikan suara rakyat kepada kerajaan yang memerintah dan kepimpinan tertinggi dalam negara. Jangan sesekali anda sangka yang kami tiada inisiatif untuk memperbaiki sistem yang berada didalam kerajaan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati. Jikalau anda mahu berperang atau mahukan pertembungan antara kerajaan negeri Johor dan kerajaan persekutuan ia tidak akan mendatangkan apa-apa faedah. Jikalau kami mampu melahirkan ramai lagi anak muda yang ada potensi, sanggup berkhidmat kepada negara dan kami boleh pastikan yang dia mampu mewakili kerajaan, kita boleh mengubah segala-galanya daripada dalam.

DYMM Sultan Johor dan saya mempunyai agenda dan perancangan tersendiri. Agenda utama kami adalah untuk negeri Johor tetapi apa cara untuk kami sampai ke Putrajaya, kami tidak boleh kongsikan kepada anda semua. Ia adalah sulit dan rahsia. Saya bukan ingin menyokong mana-mana parti politik tetapi untuk mengubah nasib negara dan memperbaiki sistem, bukan untuk menjatuhkan kerajaan. Kita perlu mengubahnya daripada dalam.

Jadi, saya dan negara-negara jiran kami berpandangan, jika kapal ini telah berjalan dengan baik selama berpuluh tahun dan mempunyai masalah oleh kerana nakhodanya yang bermasalah, tidak perlu tukar kepada enjin yang baharu. Duduk di dalam kapal yang sama, dan membimbing nakhoda tersebut dan beritahu ke mana kita mahu pergi. Cukup ini sahajalah yang dapat saya kongsikan bersama rakyat. Tetapi rakyat Johor perlu percaya kepada visi DYMM Sultan Johor dan saya sendiri. Tidak perlu banyak perkara untuk dijadikan contoh. Cukup satu perkara kecil sahaja yang boleh saya beritahu anda semua untuk dijadikan sebagai contoh.

Apa yang anda lihat dengan apa yang saya lakukan dalam pentadbiran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah sama apa yang kami akan lakukan di pentadbiran peringkat tertinggi. Bola sepak hanyalah minat saya. Pada 30hb Jun 2016, saya ada mengeluarkan satu kenyataan dalam laman rasmi JOHOR Southern Tigers yang mengatakan kami akan memusnahkan apa yang anda bina dan kami akan bina yang lebih baik. Ia adalah satu pembayang apa yang ingin saya lakukan kepada sistem pentadbiran FAM ketika itu. Saya tidak kongsikan perkara ini kepada ramai pihak tetapi hari ini saya akan kongsikan kepada semua. Misi saya ketika menyertai FAM adalah untuk memperbaiki dan mempertingkatkan struktur sedia ada. Ia juga untuk menukar struktur perlembagaan dalam FAM bagi memastikan kuasa Presiden FAM dan Persatuan Bolasepak adalah terhad. Mereka hanya menjaga Jawatankuasa Tatatertib, pengadil dan pasukan kebangsaan. FAM juga tidak lagi memberi arahan dan terlibat dengan apa yang berlaku kepada pasukan, kelab, kewangan dan pentadbiran liga. Apa yang saya lakukan adalah saya mengubah perlembagaan di mana kami melabur kepada FAM, melabur kepada semua pasukan dan kami menjaga kepentingan Malaysian Football League (MFL). Ini adalah sebab mengapa saya keluar daripada FAM kerana kuasa tiada kepada Persatuan Bolasepak sama seperti di negara-negara luar. Kuasa berada pada badan berkecuali yang menguruskan liga seperti LaLiga (Sepanyol), Seria A (Itali), English Premier League (England), Bundesliga (Jerman) dan sekarang di Malaysia adalah MFL. Tetapi jangan salah tafsir dengan menganggap Presiden FAM sebagai proksi. Beliau bukan proksi tetapi adalah individu yang layak dan boleh bekerjasama dengan MFL. Ini diibaratkan seperti latihan saya sebelum agenda saya yang lebih besar di peringkat tertinggi melibatkan pentadbiran sistem negeri dan kerajaan.

Tuan-tuan dan puan-puan, saya datang dari keluarga dan hidup di dunia yang anda tidak boleh lihat dan dunia itu dikawal rapi. Anda lihat bagaimana pergerakan sesuatu rejim dan organisasi sulit mengawal dunia. Kami juga mempunyai sistem yang sama tetapi kami organisasi yang berbeza. Jika anda lihat bagaimana organisasi sulit mengawal negara-negara besar daripada sebuah tanah kecil di Timur Tengah dan inilah yang kami lakukan disini untuk mengawal takdir sesebuah negara. Ia telah dilakukan sejak zaman nenek moyang saya dan kami akan meneruskannya untuk rakyat bagi ‘restore the order’ apabila ia terkeluar daripada ‘order’ tersebut. Itulah tanggungjawab kami dan ia akan sentiasa menjadi tugas kami.

Sekarang ini, di dalam negara situasi politik agak berkucar kacir. Tetapi ia tidak semestinya adalah pengakhiran dunia (kiamat). Inilah masanya untuk ‘restore the order’ dan melaksanakannya kepada sistem yang telah dirosakkan oleh individu yang berumur 93 tahun ingin menjadi Perdana Menteri sekarang ini. Jangan tertipu, buka mata anda, gunakan akal fikiran dan ikut bayangan yang akan saya berikan kerana saya tahu apa yang anda tidak tahu. Anda perlu percaya kepada saya kerana saya tahu apa yang ingin saya lakukan. Inilah masanya untuk bumi selatan mengawal sesetengah situasi dan memulihkan semula ‘order’ yang telah dirosakkan oleh individu yang tamakkan kuasa dan duit. Jangan mudah terpengaruh dan percaya dengan apa yang anda dengar semalam di Pasir Gudang. Negeri Johor tidak akan pernah lupa kepada individu yang ingin membubarkan Angkatan Setia Negeri Johor (JMF) yang telah wujud sejak 1886 dan berangan mahu menarik kuasa Sultan Johor yang memerintah serta memperkecilkan perlembagaan negeri Johor yang telah wujud sebelum adanya negara bernama Malaysia.

Ingatlah wahai rakyat Johor yang saya kasihi sekalian. Bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Selagi rakyat Johor bersatu bersama-sama dengan kepimpinan DYMM Sultan Johor termasuk saya, pelbagai perkara yang kita mahukan boleh dicapai untuk masa hadapan anak cucu cicit kita. Jangan kita berpecah belah dan mudah dipermainkan dengan anasir-anasir luar yang mahu menghancurkan kedaulatan negeri ini. Lihatlah apa yang telah saya lakukan terhadap bola sepak. Bola sepak ini hanyalah latihan. Ia ibarat saya ke ‘driving range’ sebelum pertandingan golf sebenar.

Jangan tukar kapal jika enjin masih berfungsi dengan baik. Jangan menukar nakhoda kapal tetapi benarkan sultan saya dan saya membimbing nakhoda tersebut demi anda. Ubah dan pertingkatkan apa yang perlu diubah dan apa yang perlu dipertingkatkan untuk negeri dan negara yang tercinta.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan