suria

Awas! Herman Tino pujuk hati, tak mahu cari pasal

Herman Tino


PETALING JAYA: Penyanyi era 1980-an, Herman Tino kini sedang 'memujuk' hatinya untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Herman, 64, yang dipecat dari Umno selepas bertanding atas tiket bebas pada PRU13 berkata, beliau mahu parti itu memilih calon boleh menang atau 'winnable candidate' kali ini.

"Saya cuba untuk pujuk hati untuk tidak bertanding kerana tak mahu cari pasal. Saya bertanding sebelum ini pun kerana tanda protes terhadap parti.

"Saya masih sayang pada Umno dan mendoakan supaya parti ini menang," katanya kepada mStar Online.

Walaupun telah menyerahkan borang untuk kembali menyertai Umno pada Julai 2016 selepas dipecat dari parti, tetapi Herman mendakwa permohonannya itu sehingga kini masih belum diluluskan.

Bagaimanapun Herman atau nama sebenarnya Masrun Tamsi berkata, beliau tidak teragak-agak untuk bertanding sekiranya pemilihan calon-calon Umno untuk PRU14 dilihat berat sebelah, terutama jika kepimpinan calon itu tidak disukai rakyat.

"Mana-mana kawasan di Selangor kalau kita boleh kesan calon itu semuanya adalah tidak layak tapi dipilih, masa tu nanti saya tak tahu macam mana nak pujuk hati saya," katanya.

Namun Herman menegaskan bahawa pertimbangan tersebut tidak merujuk pada kerusi Parlimen Tanjung Karang yang disandang Tan Sri Noh Omar.

Herman ketika menyerahkan borang permohonan kepada Noh untuk kembali menyertai parti pada Julai 2016.

Malahan, Herman yang merupakan anak kelahiran Tanjung Karang itu menyokong Noh sekiranya Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan pada PRU14.

"Saya sebelum ini melawan dia bukan kerana benci dia tapi tak puas hati dengan hal dalaman parti, sebab tu saya protes.

"Tapi kalau di Selangor masih memilih calon secara tidak adil dan tidak disukai oleh rakyat, maka saya terpaksa cari pasal (bertanding)," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar Noh sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor bersama barisan kepimpinannya membuat keputusan yang bijak dalam memilih calon yang boleh menang dan benar-benar layak untuk berkhidmat kepada rakyat.

Pada PRU13 yang lalu, Herman membuat kejutan apabila bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi Parlimen Tanjung Karang, menentang Tan Sri Noh Omar dari Barisan Nasional dan wakil PAS, Mohamad Rashdi Deraman.

Noh memenangi kerusi itu dengan 20,548 undi menewaskan Mohamad Rashdi dengan majoriti 4,394 undi, manakala Herman hanya mendapat 340 undi sekali gus hilang wang pertaruhan.

Herman Tino, PRU14

Artikel Lain