PETALING JAYA: Pembangkang dijangka membuat pengumuman besar semasa ceramah di Langkawi Ahad ini yang melibatkan Tun Dr Mahathir Mohamad, kata sumber Pakatan Harapan. Menurut sumber itu, pengumuman tersebut berkemungkinan akan melibatkan kerusi parlimen yang akan ditanding oleh pengerusi Pakatan Harapan. Menurut sumber itu lagi kepada The Star pada Selasa, Dr Mahathir akan berada di Langkawi pada Ahad untuk ceramah yang akan dihadiri oleh pemimpin tertinggi. Menurut sumber itu, ceramah tersebut dijangka melihat barisan kepimpinan pembangkang, termasuk Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ditanya sama ada Dr Mahathir akan bertanding di kerusi parlimen Langkawi, sumber itu berkata "kemungkinan besar". Semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri, beliau mengisytiharkan Langkawi sebagai pelabuhan bebas cukai untuk mempromosikan perdagangan dan menubuhkan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) untuk menggalakkan pembangunan di pulau itu. Ketua Biro Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff ketika dihubungi mengambil pendirian untuk mengunci mulut dan memberitahu supaya menunggu pengumuman di Langkawi, Ahad ini. "Apa yang saya boleh katakan sekarang ialah tunggu pengumuman itu, kerana semua yang dengar adalah khabar angin," katanya. Disember lalu, Dr Mahathir, 93 tahun, memberi gambaran bahawa beliau mungkin bertanding di Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya.