suria

PPBM tarik balik saman terhadap ROS

Surayati Ibrahim

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menarik balik saman pemula difailkan terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bagi menuntut deklarasi berhubung status pendaftaran parti itu.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili PPBM memberitahu pemberita bahawa Hakim Mahkamah Tinggi S. Nantha Balan membenarkan saman itu ditarik balik tanpa sebarang kos selepas pengurusan kes saman berkenaan di dalam kamarnya pada Selasa.

Peguam itu berkata PPBM menarik balik saman pemula itu berikutan parti berkenaan telah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar tindakan Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim membubarkan sementara parti berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini, pada 5 April lepas.

Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Wira Kamaludin Md Said esok.Pada 22 Feb lepas, PPBM melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh selaku plaintif memfailkan saman pemula dengan menamakan RoS sebagai defendan.

Dalam saman pemula itu, PPBM yang ditubuhkan pada 8 Sept 2016, memohon deklarasi bagi menuntut RoS mematuhi segala prosedur dan tidak boleh membatalkan parti berkenaan mengikut peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Plaintif juga memohon suatu deklarasi bahawa tindakan RoS yang tidak memberi maklum balas terhadap tiga surat yang dikemukakan terhadapnya adalah bercanggah dengan Akta Pertubuhan 1966 selain menuntut supaya RoS menjalankan siasatan terhadap segala pertikaian berkaitan parti berkenaan.- Bernama

RoS, PPBM, Saman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

PRU14: 9 Mei tarikh mengundi

Artikel Lain